Bersama Dr Juanda Jaya
SEMPENA meraikan pekerja yang dedikasi dalam bidang masing-masing, sewajarnya pengiktirafan lebih diberikan kepada pekerja memiliki keunggulan ilmu, kecekalan mental dan kesempurnaan modal insan.
Umat Islam termasuk penduduk dunia berlumba-lumba meningkatkan kecemerlangan sejagat. Mari kita sahut seruan bekerja untuk keamanan dan kedamaian umat manusia.
Islam mengajar erti maslahat untuk semua manusia, tidak kira Muslim atau bukan Islam. Semangat bekerja dan menjaga bumi Allah dengan gaya kerja Rahmatan lil Alamin.
Ucapkan tahniah kepada diri sendiri yang mempunyai matlamat dan perancangan jelas dalam kehidupan ini. Anda berdiri dengan semangat seorang wakil Tuhan di atas bumi-Nya sambil melafazkan kalimah-Nya agung yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (iaitu kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi. Berbuat baik (kepada manusia) seperti Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qashash, ayat 77)
Selepas bertahun-tahun menjalani hidup sebagai seorang pekerja, anda patut berbangga kepada diri sendiri seperti mana kebanggaan Rasulullah SAW terhadap sahabatnya yang hartawan dan dermawan seperti Abdul Rahman bin Auf.
Ali bin Abi Talib pernah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Engkau (Abdul Rahman bin Auf) adalah orang dipercayai oleh penghuni langit dan orang dipercayai penghuni bumi!”
Tahniah kepada pekerja bersifat amanah lagi jujur serta dipercayai. Mereka memperoleh hasil titik peluhnya dengan limpahan rahmat Allah.
Berilah penghormatan kepada pekerja yang membawa misi Allah di merata dunia ini. Mereka mujahid Allah yang berusaha membangunkan agama, bangsa dan negara serta umat Islam seluruhnya.
Jangan remehkan kerjaya seorang penjual nasi lemak yang bangun seawal jam tiga pagi supaya anaknya bebas daripada kemiskinan dan kebodohan. Ataupun, seorang pakar ekonomi yang sedaya upaya mengkayakan umat manusia dengan usahanya.
Begitu juga pendidik yang cekal dan sabar mengajar anak kita menjadi manusia berguna. Sungguh ramai mujahid dan mujahidah Allah yang bertugas lapan jam sehari hingga 20 jam yang melelahkan.
Semoga Allah merahmati pekerja-Nya yang taat dan setia. Siapapun kita dan dalam bidang apapun kerjaya yang diceburi, yakinlah bahawa majikan kita yang paling besar ialah Allah Taala.
Kita patut berbangga atas anugerah Allah kepada pekerja-Nya, iaitu dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dialah menjadikan bumi ini mudah untuk kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah daripada sebahagian rezeki-Nya dan hanya kepada-Nya kamu kembali selepas dibangkitkan.” (Surah Al-Mulk, ayat 15)
Anugerah Allah memberi jaminan ‘kemudahan’ bagi orang yang kuat bekerja. Rezeki disediakan bagi seluruh makhluk, hinggakan haiwan yang melata di atas tanah tertulis bahagian rezekinya masing-masing.
Namun, masih ada manusia yang hanya suka duduk mengharap belas ihsan orang lain. Anak muda makan ‘disuap ibu bapa’, apabila panas dikipas, apabila takut dipeluk, apabila merajuk dipujuk bagai mahu disujud.
Tetapi, mereka ada kekuatan, tubuh badan sihat dan akal anugerah Tuhan. Namun, hanya satu mereka tiada iaitu mentaliti tahan lasak. Maka, ramailah yang lahir ke dunia sebagai penganggur bersifat pesimis, lemah semangat, hilang punca dan takut menghadapi kehidupan.
Mereka lupa kandungan doa mengandungi falsafah hidup cemerlang: “Ya Allah aku berlindung daripada sifat sedih dan dukacita, lemah dan malas dan daripada sifat kedekut lagi bakhil, juga daripada belitan hutang.”
Bukankah doa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada kita ini menjadi ubat bagi hati hancur kerana kegagalan? Baginda juga berwasiat kepada sahabatnya Muaz: “Jangan ditunggu datangnya waktu petang, jangan ditunggu datangnya esok pagi!” Satu nasihat supaya umatnya bergerak lebih agresif dan bertenaga.
Apa akan jadi dengan anak kita jika bapanya seorang yang miskin, tiada punca pendapatan tetap. Ditambah lagi sikap malas berusaha dan tidak bertanggungjawab? Bukankah miskin itu dekat kepada kekufuran? Hancurlah keluarga, masyarakat bahkan negara jika tangan lelaki tidak sekuat Umar al-Khattab, hati tidak secekal Abu Bakar al-Siddiq. Akal tidak setajam Ali bin Abi Talib dan jiwa tidak setulus Usman bin Affan.
Bukan salah musuh Islam jika mereka berteriak lantang: “Sesungguhnya Muhammad hanya meninggalkan ‘pondan-pondan’ pengecut saja!” Lelaki, tetapi tiada nampak ciri kelelakiannya.
Sekali lagi, tahniah kepada lelaki gagah, wanita berwibawa dan generasi muda berwawasan jauh ke depan. Kita semua pekerja diupah di dunia dan akhirat, kerana majikan kita menghargai jerih payah itu dengan balasan bernama ‘nikmat abadi’, syurga dunia dan akhirat.
Jika anda seorang majikan yang amanah, renungilah sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari kiamat, (antaranya) lelaki yang mengupah seseorang lalu dia menyempurnakan kerjanya, tetapi lelaki itu tidak memberikan upahnya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak
Monday, April 30, 2007
Tajdid Iman: Orang kuat bekerja diberi jaminan kemudahan
Wednesday, April 25, 2007
Pentafsiran Quran Menggunakan Sains
Pentafsiran al-Quran mempunyai metodologinya yang tertentu. Justeru, penggunaan ilmu-ilmu sains semasa untuk mentafsirkan al-Quran tidak boleh dilakukan secara semberono. Hal ini disebabkan pentafsiran berlandaskan pandangan akal semata-mata tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar adalah dilarang.
Berhubung dengan ini dalam sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Tirmizi, an-Nasai dan Abu Daud, nabi bersabda, “Sesiapa yang mentafsirkan al-Quran dengan menggunakan akal semata-mata ataupun berdasarkan sesuatu yang tidak difahaminya, sila ambil tempatnya dalam neraka.”
Justeru sikap sesetengah golongan yang terlalu ghairah mentafsirkan al-Quran menggunakan sains perlu ditegur. Mereka menggunakan pendekatan tangkap muat atau ‘cut and paste’ dalam mentafsirkan ayat.
Setiap penemuan sains yang diledakkan terus mereka ambil untuk dikaitkan dengan ayat-ayat tertentu. Mereka seolah-olahnya berkata, “Penemuan serta fenomena sains inilah yang dimaksudkan oleh ayat.” Mereka seolah-olahnya meyakini bahawa maksud sebenar sesuatu ayat Quran ditentukan oleh penemuan sains yang baru diketengahkan, tanpa merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Mereka merupakan golongan yang terbabas.
Ulama tafsir bersepakat bahawa tafsiran yang terbaik ialah tafsiran yang diambil daripada al-Quran sendiri. Jika perincian maksud sesuatu ayat tidak diperoleh daripada al-Quran, Sunnah perlu dirujuk.
Jika selepas merujuk kepada al-Quran dan Sunnah maksud sesuatu ayat masih belum jelas, kita perlu merujuk kepada perkataan sahabat-sahabat nabi terutamanya keempat-empat khalifah selepas nabi, sahabat Abdullah ibn Masud dan Abdullah ibn Abbas, kerana mereka lebih mengetahui berhubung al-Quran berbanding orang lain. Jika perincian maksud masih belum diperoleh, kita perlu manfaatkan pendapat ulama tabiin kerana mereka merupakan anak murid kepada sahabat-sahabat nabi.
Antara mereka yang menonjol dalam bidang ilmu tafsir ialah Imam Mujahid, Atha bin Rabah, Ikrimah, Said bin Jubair dan Masruq bin Ajda’. Di samping itu, pandangan daripada ulama selepas tabiin juga boleh dimanfaatkan.
Antara mereka yang menonjol ialah Sufyan bin Uyainah, al-Kalbi, Muqatil bin Sulaiman dan al-Waqidi. Tambahan daripada itu, tafsiran mengikut kaedah bahasa Arab juga adalah diterima. Mengikut sahabat Abdullah ibn Abbas, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Jarir, maksud sesetengah ayat dapat difahami oleh orang-orang Arab (juga oleh mereka yang menguasai bahasa Arab) kerana ia adalah bahasa mereka.
Tafsiran yang merujuk kepada metodologi ini dianggap sebagai tafsiran yang muktabar. Selepas tafsiran muktabar dirujuk, dan maksud serta tujuan ayat jelas berkaitan dengan alam dan manusia, ketika itu penemuan-penemuan sains yang relevan lagi sahih boleh dimanfaatkan bertujuan untuk membantu serta memantapkan kefahaman.
Sebagai contoh, dalam surah az-Zariyat ayat 47 Allah berfirman, “Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”
Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimat muusi’uun. Dalam bahasa Arab kalimat muusi’uun berasal daripada kalimat wasa-’a yang bermaksud “menjadi besar, luas.”
Berdasarkan ini, ayat ini boleh membawa maksud “Allah meluaskan langit” dan pada ketika yang sama ia juga boleh bermaksud “Allah yang meluaskan atau melapangkan rezeki.” Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim menyatakan, ayat ini bermaksud, “Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”
Dengan tafsiran ini jelas sekali ayat ini ada perkaitan dengan pengembangan alam, maka tidak ada salahnya jika kita memanfaatkan penemuan semasa yang relevan untuk membantu kefahaman.
Justeru, as-Syeikh Said Hawa, dalam Al-Asas fit Tafsir, berkata, “Maksud ayat ini ialah, langit ini Allah jadikan dalam keadaan mengembang secara berterusan atau Allah jadikan ianya luas. Ayat ini merupakan ayat mukjizat berhubung kejadian alam. Ia juga menunjukkan bahawa ilmu al-Quran amat jauh ke hadapan, melampaui tempat dan zaman.”
Pada hari ini para saintis mengesahkan bahawa alam ini sebenarnya sedang mengembang. Fenomena ini pada asalnya diutarakan pada tahun 1929 oleh tokoh astronomi daripada Amerika, iaitu Edwin Hubble. Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk Astronomers Detect First Split-Second of the Universe, Space.com melaporkan bahawa pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori ini.
Ia adalah berdasarkan data yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anisotropy Probe atau WMAP. Ia mengukuhkan teori alam mengembang sekali gus menampakkan kebenaran al-Quran.
Pentafsiran al-Quran menggunakan pendekatan sebegini disetujui dan disokong oleh Hamka. Beliau berkata, “(Mukjizat) yang lebih mengagumkan ialah terdapat beberapa pokok ilmiah yang tinggi dalam al-Quran mengenai alam. Dibicarakan dalamnya soal kejadian langit dan bumi, bintang-bintang, bulan dan matahari. (Juga dibincangkan tentang) turunnya hujan dan hubungannya dengan kesuburan dan kehidupan. Beberapa kali dibicarakan (tentang) lautan, pelayaran dan perkapalan.
Pernah juga (difirmankan) bahawa pada mulanya langit dan bumi itu adalah satu, kemudian dipecahkan (al-Anbiya ayat 30) dan beratus-ratus tahun kemudian penyelidikan ilmu pengetahuan alam menjelaskan bahawasanya bumi ini adalah pecahan daripada matahari. Dibicarakan juga soal asal-usul kejadian manusia, (bermula) daripada tanah lalu menjadi mani, nutfah, alaqah dan mudghah, lalu mudghah itu menjadi tulang, lalu tulang itu diselimuti oleh daging, kemudian menjadi manusia yang bernyawa (al-Mukminun, ayat 12-14).
Dibicarakan juga dari hal kayu-kayuan, kebun-kebun yang indah, pengaruh angin berhembus untuk mempertemukan ‘jantan dan betina’ pada tumbuh-tumbuhan. (Persoalan tentang alam) yang dibicarakan sangatlah mengagumkan, kerana (semakin bertambah) penyelidikan manusia dalam pelbagai (bidang) ilmu pengetahuan tentang alam, semakin bertambah jelas maksud ayat-ayat itu. Sedangkan Nabi Muhammad bukanlah seorang ahli ilmu alam.....
(Al-Quran) membicarakan beberapa kali tentang lautan, ombak bergulung dan kapal belayar, dan ia sangat menarik perhatian pelaut-pelaut. Sehinggakan seorang nakhoda kapal berbangsa Inggeris bernama Mr. Brown, yang dalam pelayarannya antara tanah Inggeris dan India selalu membaca terjemahan al-Quran, sangat kagum apabila membaca ayat-ayat mengenai laut dan bahtera.
Beliau bertanya kepada orang-orang Islam di India, pernahkah Nabi Muhammad belayar. Maka diterangkan kepadanya bahawa Nabi Muhammad tidak pernah melayari lautan seumur hidupnya. Mendengar keterangan itu ditambah lagi dengan penyelidikannya tentang sejarah hidup Rasulullah, memang (jelas sekali) beliau tidak pernah belayar. (Maka) timbullah iman (di hati) nakhoda Inggeris itu bahawa al-Quran sememangnya wahyu Ilahi, dan dia pun langsung memeluk agama Islam.......................
Tambahan daripada itu, terdapat banyak ayat al-Quran yang menyuruh manusia memperhatikan alam kelilingnya, merenung dan memikirkannya. Ditekankan seruan agar (manusia) menggunakan akal.
Dan setelah ilmu pengetahuan moden (menjadi maju), bertambah jelas pulalah erti yang terkandung dalam ayat-ayat itu. Semuanya ini menjadi bukti bahawa al-Quran bukanlah karangan Nabi Muhammad sebaliknya diturunkan secara langsung daripada Allah... Jika terdapat pentafsir-pentafsir memberikan tafsiran yang tidak tepat, ia bukanlah bererti bahawa ayat itu yang tidak sesuai dengan ilmu pengetahuan, melainkan pentafsir itulah yang tidak ada ilmu pengetahuan.” Kenyataan-kenyataan ini disebutkan Hamka dalam Tafsir al-Azhar.
Keharmonian Al-Quran Dan Sains
Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.
Sains ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan yang harmonis.
Antara ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”
Ada ulama yang mentafsirkan ayat ini secara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar.”
Walau bagaimanapun, dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta dalil-dalil di alam ini yang menunjukkan bahawa al-Quran ini adalah benar.” Untuk menerokai dan mengeluarkan bukti serta dalil daripada alam, sains diperlukan.
Seterusnya, berhubung dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan pada diri mereka sendiri,” Imam Ibn Kathir berkata, “Berkemungkinan yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah apa yang terdapat dalam tubuh badan manusia yang menakjubkan, sebagaimana yang dapat dilihat dalam ilmu tasyrih (anatomi). Kesemua ini akan menampakkan kebijaksanaan Yang Maha Pencipta.” Untuk mengenali organ serta memahami sistem yang terdapat dalam tubuh manusia, sains juga diperlukan.
Konklusi yang dibuat as-Syeikh Said Hawa berhubung ayat ini amat menarik sekali. Dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”
Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, “Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran.”
Justeru, ayat ini merupakan jambatan antara sains dan Quran. Ia mengisyaratkan bahawa penemuan-penemuan sains masa kini yang berkaitan dengan alam dan manusia akan menampakkan, tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran al-Quran. Yang penting ialah kajian sains yang dilakukan mestilah merupakan suatu kajian yang sahih dan ayat al-Quran yang hendak ditafsirkan mestilah merupakan satu ayat yang boleh dikaitkan dengannya, selepas merujuk kepada tafsiran yang muktabar. Justeru, penemuan-penemuan sains masa kini boleh dimanfaatkan untuk memahami ayat-ayat tertentu dalam al-Quran...................
