Wednesday, February 28, 2007

Kematian Pasti Akan Tiba

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Manusia yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai oleh hawa nafsu dan hidup dibelenggu dengan perbuatan maksiat amat sikit bahkan mungkin juga sama sekali tidak mengingati bahawa malaikat maut pasti akan datang membawa perintah Allah S.W.T untuk meragut nyawanya.

Sekiranya golongan ini mengingati kematian, pasti mereka bukan ketakutan atau bersedih hati kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat kelak, tetapi ia gusar mengenangkan harta-bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.

Firman Allah S.W.T.:

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. – Aali ‘Imraan (3) : 185

Ketahuilah bahawa kematian pasti akan tiba terhadap seluruh umat manusia tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan dalam masyarakat, kekayaan harta benda mahupun golongan yang dilihat gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri dari menghadapi maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian bagi seseorang maka ianya tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah S.W.T.:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya) ". - Al-Jumu’ah (62) : 8

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)". – Nuh (71) : 4

Dengan mengingati kematian maka kita akan lebih berwaspada dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menurut perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan meninggalkan segala larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Dengan mengingati kedatangan kematian ianya boleh menyebabkan kita teruja untuk membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya nanti. Oleh itu Islam amat menganjurkan agar kita sentiasa mengingati tentang kematian.

Di antara cara-cara yang terbaik untuk mengingati kematian adalah seperti berikut:

a) Kita menegenangkan ahli keluarga kita, sahabat handai kita mahupun sesiapa sahaja yang boleh mempengaruhi hidup kita yang telah terlebih dahulu meninggal dunia. Kita kenangkan mereka semasa hidup dahulu mungkin memiliki harta kekayaan yang banyak, jawatan yang besar serta disanjung masyarakat tetapi kini dibiarkan keseorangan di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai tersebut kini telah terpisah darinya. Rentetan dari itu hendaklah kita serapkan dijiwa kita bahawa kematian juga pasti akan menjemput kita dan kita juga bakal akan keseorangan di alam kubur.

b) Hendaklah kita menziarahi kubur kerana ianya dapat membantu kita untuk mengingati bahawa kita juga akan menghadapi nasib yang serupa dengan ahli kubur tersebut.

…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 976.

Malah doa yang disunnahkan ketika menziarahi kubur juga mengingatkan yang sedang berdoa bahawa dia juga bakal menyertai ahli kubur tersebut di masa hadapan. Di antara doa-doa tersebut adalah:

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 975.

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya Allah kami akan menyusul. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 974.

c) Islam juga menganjurkan kita untuk menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengkebumian seorang Muslim yang lain kerana sedikt-sebanyak perkara-perkara tersebut dapat mengingatkan kita tentang kematian. Al-Barra’ bin ‘Aazib r.a berkata:

Rasulullah s.a.w. menyuruh menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazah, menyambut doa pada orang bersin, menepati sumpah, menolong orang yang teraniaya, mendatangi undangan dan menyebarkan salam. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2445.

Menyedari bahawa mengingati kematian ini dapat membawa nilai-nilai yang positif terhadap setiap insan maka terdapat banyak dalil yang menganjurkan manusia agar selalu ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4248

Namun begitu mengingati kematian bukan bermaksud kita mendoakan agar dipercepatkan kematian terutamanya ketika kita ditimpa musibah kerana perbuatan tersebut adalah dilarang oleh syarak. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Janganlah seseorang itu menginginkan mati kerana bala yang menimpanya, tetapi jika dia terpaksa menginginkan kematian maka hendaklah membaca (doa):

Ya Allah, lanjutkanlah hidup saya sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan segeralah matikan saya sekiranya mati itu lebih baik bagiku. – Hadis riwayat Imamal-Bukhari, no: 5671.

Mengingati kematian sekadar meyakini bahawa lambat laun ajal kita pasti akan ditamatkan dan kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi maut. Rasulullah s.a.w. juga telah mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia yang paling bijaksana.

Dari Ibnu ‘Umar dia berkata: Aku bersama Rasulullah s.a.w., lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda kemudian mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w. lalu dia bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah di antara kaum mukminin yang paling utama?

Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya di antara mereka.

Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian di antara mereka, dan yang paling bagus persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik. – Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4249.

Tuesday, February 27, 2007

Wuduk, zikir ‘ubat’ mujarab kawal kemarahan

Oleh Mohd Shukri Hanapi


MARAH salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci Allah dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja'far bin Muhammad berkata: "Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian)."

Justeru, Rasulullah menganjurkan umatnya jangan marah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: "Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari).

Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.

Pada peringkat permulaan, sifat marah bukan penyakit, cuma luahan seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkah laku. Ia adalah akibat daripada sesuatu sebab atau kesan yang kalau tidak berbuat demikian, kita berasa tidak selesa dan resah gelisah.

Sifat marah sudah mula bertapak di hati, jika tidak dibendung lama kelamaan akan memakan diri sendiri. Ia juga akan membawa padah kepada orang yang kita sayangi dan hormati, serta membawa keburukan serta kemudaratan kepada sekeliling kita.

Bagi membendung dan mengubati penyakit marah, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat terbaik iaitu menahan diri tatkala marah dan sabar ketika hawa nafsu meluap-luap.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (Riwayat al-Tirmizi)

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan oleh syaitan. Syaitan dijadikan daripada api oleh itu ingatlah bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan di anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas akibat marah.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud).

Nabi Muhammad SAW menasihatkan kepada orang yang sedang marah supaya mengambil wuduk. Di samping itu, perbanyakkan zikir kepada Allah dapat menghapus dan memadamkan api kemarahannya yang sedang meluap-luap.

Islam mengajar umatnya mengambil berat hubungan murni antara suami dan isteri, anak dengan ibu bapa dan antara adik beradik. Ia adalah teras penting kehidupan sesebuah keluarga.

Allah berfirman bermaksud: "Dan Tuhanmu (Allah) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Surah al-Israk ayat 23).

Keluarga bahagia memang menjadi idaman kita. Namun, sepanjang hidup bersama ada ketikanya suami marah terhadap isteri dan anak dan begitulah sebaliknya. Kemarahan itu mungkin berkaitan dengan disiplin dalam rumah, tingkah laku anak, kewangan, makanan dan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal rumah tangga.

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri.

Inilah yang sering timbul apabila sifat marah sudah mula menular di dalam jiwa. Marah boleh merosak dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.

Orang yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus bertoleransi dan persefahaman antara sesama manusia. Hindarkan sebab atau punca yang boleh menyebabkan orang lain memarahi kita.

Sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang dan bantulah dirinya mencari punca kemarahannya.

Bagi orang sering marah, renung dan hayatilah firman Allah bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura ayat 37).

Marah adalah penyakit yang sepatutnya dihindari, tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Jika mereka dalam tanggungannya sengaja melanggar perintah Allah, ketua keluarga wajib menegur dan memarahi.

Rasulullah marah apabila hukum Allah dilanggar dan dipermainkan, tetapi harus ingat bahawa marah bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki tangan sehingga memukul sebaliknya ia mestilah bertujuan mendidik untuk menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat itu. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semula jadi pada diri manusia, supaya ia membawa kebaikan kepada manusia dan bukan membawa kebinasaan.

Ingatlah marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat dan ia juga boleh membawa mudarat. Orang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya agar ia membawa manfaat, bukan mudarat.

Bergurau jangan sampai menghina agama

Oleh Mohd Shukri Hanapi


DALAM pergaulan sehari-hari, kita tidak boleh terlepas daripada bergurau. Malah bergurau itu hampir disenangi oleh setiap orang. Bergurau diibaratkan bunga dalam pergaulan dan pengubat ketika duka.

Ada orang beranggapan dengan suka bergurau wajah seseorang itu kelihatan ceria, muda dan tenang. Berbeza pula dengan orang serius dan pendiam, mereka kelihatan murung dan agak tua walaupun umur masih muda.

Tanggapan itu hanya sepintas gambaran mengenai perbezaan antara orang suka bergurau dengan orang tidak suka bergurau.

Gambaran seperti itu tidak dapat dijadikan suatu panduan kekal. Ramai juga yang tidak suka bergurau, namun masih juga kelihatan muda, ceria dan tenang.

Dalam Islam, bergurau tidak dilarang asalkan ia gurauan yang haq (benar).

Sebaliknya jika gurau itu sengaja dimaksudkan untuk membuat orang lain tertawa atau supaya ditertawakan, maka sudah tentu ia dilarang.

Rasulullah bersabda bermaksud, "Sesiapa berbicara dengan sesuatu perkataan sehingga perkataan itu menjadikan sahabatnya tertawa, nescaya Allah akan menyeksa kelak di neraka." (Tanqih al-Qaul, halaman 54).

Sebenarnya Rasulullah pernah bergurau dengan keluarga atau sahabatnya. Mengikut hadis yang bersumberkan daripada Hassan, ada seorang nenek datang menghadap Rasulullah. Di hadapan Rasulullah nenek itu berkata, "Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya dapat masuk syurga.". Kemudian baginda berkata, "Wahai nenek, ketahuilah bahawa di syurga tidak ada orang tua seperti kamu."

Sebaik saja mendengar jawapan Rasulullah, nenek itu terus menangis. Tetapi kemudian sambil tersenyum baginda bersabda lagi yang bermaksud, "Bukankah aku katakan bahawa tidak ada orang tua masuk syurga. Semuanya berubah menjadi gadis perawan."

Selepas mendengar penjelasan Rasulullah, nenek itu terus berhenti menangis. Kemudian dia tertawa kerana mengerti bahawa dirinya kelak akan kembali menjadi gadis di syurga.

Berdasarkan peristiwa itu, Rasulullah dalam pergaulan sehari-hari tidak terlepas daripada bergurau.

Mungkin kerana sifat baginda yang suka bergurau, menyebabkan Baginda mudah didekati oleh pengikutnya.

Malah mereka juga tidak berasa bosan walaupun berada dalam suasana menderita akibat tekanan dan gangguan daripada orang kafir Quraisy. Mereka menghadapi semua penderitaan itu dengan penuh ketenangan dan kegembiraan.

Itulah keperibadian Rasulullah suka bergurau dalam pergaulannya. Dengan demikian, suasana kehidupan menjadi lebih ceria dan semakin kukuh ikatan perpaduan.

Sebenarnya bukan Rasulullah saja yang suka bergurau, malah sahabat dan khalifah Islam selepas Rasulullah juga suka bergurau.

Khalifah Harun al-Rasyid (salah seorang Raja amat terkenal pada masa kerajaan Abbasiah) juga bersifat sedemikian. Pada masa pemerintahannya, dia tidak pula mengabaikan sifat bergurau dalam pergaulan sehari-hari.

Oleh itu, sekalipun Khalifah Harun al-Rasyid sudah berkali-kali disakitkan hatinya oleh Abu Nawas, salah seorang rakyatnya yang sangat terkenal kerana gurau tetapi ia menyukainya. Bahkan ia selalu berasa rindu apabila lama tidak bertemu dengan Abu Nawas. Kadangkala Abu Nawas sengaja dijemput ke istana semata-mata untuk menghiburnya.

Meskipun Islam tidak menghalang daripada bergurau, namun kita tidak boleh sembarangan bergurau. Ini kerana terlalu banyak bergurau boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Sesiapa banyak ketawa, nescaya orang bakal meremehkannya." (Tanqih al-Qaul hal. 54).

Menurut al-Ahnaf pula, "Banyak ketawa boleh menghilangkan kewibawaan, sedang banyak bergurau boleh menghilangkan harga diri".

Oleh itu, jelaslah bahawa bergurau adalah diharuskan dalam pergaulan. Tetapi janganlah pula bergurau sehingga melampaui batas dan melanggari tatacara dalam pergaulan. Dalam erti kata lain, bergurau dengan sopan sehingga jangan sampai menyinggung perasaan seseorang dan menghinakan agama.

Selang-selikan kehidupan dengan bergurau yang sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW. Bergurau dibenarkan dalam Islam tetapi perlu ada batasannya. Jangan sampai bergurau melukakan perasaan orang lain.

Mudah-mudahan kehidupan kita ini selalu ceria, tenang, penuh semangat untuk beribadah dan bekerja tanpa ada rasa kebosanan.