Oleh Mohd Shukri Hanapi
KEPEMIMPINAN adalah suatu peranan sosial yang dimainkan oleh seorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pimpinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.
Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menerangkan setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.
Dalam skop lebih luas, kita boleh melihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Quran yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafat Allah fi al-Ardh).
Allah berfirman bermaksud “Sesungguhnya Kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan berasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,” – (Q:33:72).
Ayat di atas menggambarkan betapa tugas kepemimpinan sebagai khalifah Allah di Bumi ini adalah satu amanah besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan bukit bukau.
Meskipun dalam beberapa ayat lain, Allah menyifatkan manusia itu sebagai makhluk yang istimewa, tetapi dalam ayat ini Allah menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil. Sifat ini disebabkan mereka sanggup memikul amanah yang sangat berat dan paling mencabar itu.
Atas dasar inilah, barangkali apabila Tuhan memberitahu bahawa Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, malaikat terus mempersoalkannya.
Allah berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata, mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, pada hal kami yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” – (Q:2:30).
Maksudnya, malaikat sangat ragu mengenai kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah di Bumi ini kerana mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Allah juga tidak menafikan kebenaran rasa ragu malaikat itu. Cuma Allah menjelaskan ada tujuan lain lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini.
Dalam konteks ini, kepemimpinan amanah yang sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun, ia adalah suatu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan Bumi.
Amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Istilah lain memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis mengenai orang munafik. Apabila diamanahkan dia khianat.
Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis di atas iaitu hadis Rasulullah yang bermaksud “Kamu semua pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang di bawah pimpinannya”.
Layaknya, kepemimpinan itu ialah satu beban yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya.
Jadi mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya, al-Abbas supaya dilantik menjadi gabenor di suatu wilayah. Malah, Baginda pernah berkata kepada sahabat rapat Baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah suatu amanah. Pada Hari Kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.
Apa yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasaskan hawa nafsu.
Bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting pandangan Islam. Kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop yang lebih kecil, yang boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr.