Monday, January 29, 2007

Tajdid Iman: Amal salih penerang kegelapan dalam kubur

Bersama Dr Juanda Jaya

KETIKA Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khattab RA mengalami sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Umar menangis sambil berkata: "Semoga Allah mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya hilang."


Mati diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa kepada kehidupan baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya. Seperti firman Allah bermaksud: "Janganlah kamu menyangka bahawa orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." – Surah Ali 'Imran: Ayat 169.

Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba Allah yang mati di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang mati tanpa sempat mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka mendapat nikmat hidup di sisi Allah sama seperti orang mati syahid?

Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan tidak kurang hebatnya berbanding saudara mereka yang syahid itu. Ini dinyatakan menerusi sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jika salah seorang di antara kalian mati, maka tampak kepadanya tempat tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni neraka. Lalu dikatakan: "Inilah tempat tinggalmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat." Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Umar berkata: "Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan daripada jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke alam bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia. Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia seperti dia tidak mahu kembali ke dalam perut ibunya."

Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa yang tidak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan saksi kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzah nanti, wajah mayatnya pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna lagi lidah fasih berhujah.

Tangannya menunjukkan kuasa ketika di dunia terikat kapan sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang miskin itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri hingga ramai manusia suka memandang dan memuji rosak binasa oleh semut tanah menyakitkan apabila mereka mula menggigit, mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong, kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar jeritan orang diseksa di dalam kuburnya, nescaya tiada lagi kehidupan di muka bumi ini.

Masihkah ada rasa takut lebih dahsyat daripada ketakutan melalui malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih menghantui mayat terbuang sendirian? Di manakah isterinya, anak dan saudara mara mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi harta ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki mengetahui isterinya melupakan cinta mereka berdua?

Kisah cinta yang terkubur bersama jasad tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah kesedihan lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?

Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa saja di dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan itu jika kita masih hidup.

Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang akan menolong kita daripada seksaan perasaan sebegitu?

Hanya amal mampu menjadi teman ketika takut dan sedih. Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja kerana Allah dan kaki tegak kerana iman. Semuanya menjadi cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.

Puasa sunat Asyura hapus dosa setahun

Apabila membicarakan tentang Hari Asyura yang jatuh pada tanggal 10 Muharam setiap tahun maka kita tidak dapat menghindarkan diri memperkatakan tentang peristiwa pembunuhan Saidina Hussain iaitu cucu Rasulullah s.a.w. Beliau juga anak kepada Saidina Ali yang dibunuh dengan kejam di sebuah tempat yang bernama Karbala di Iraq.

Rentetan dari peristiwa Karbala ini timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem.

Golongan pertama terdiri daripada pengikut Syiah al-Rafidhah yang menjadikan tarikh 10 Muharam setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan demi untuk memperingati kematian Saidina Hussain ini.

Ketika menyambut hari Asyura mereka memperlihatkan perbuatan-perbuatan umat jahiliah seperti memukul wajah serta tubuh badan mereka sehingga berdarah, menyiksa diri, berteriak serta menangis dan merobek-robek pakaian mereka.

Meratap

Ternyata perbuatan meratap serta menyiksa diri sendiri apabila ditimpa musibah dicela oleh syarak sebagaimana hadis-hadis di bawah.

Nabi s.a.w. bersabda: Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah. (Riwayat Bukhari, no: 1294)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Saya tidak bertanggungjawab kepada orang yang ditimpa musibah lalu menangis dengan suara yang keras [berteriak-teriak] atau menggondolkan rambutnya atau merobek bajunya. (Riwayat Muslim, no: 104).

Golongan Syiah ini juga memperhebatkan lagi celaan mereka kepada para sahabat nabi pada hari Asyura. Mereka juga membacakan syair-syair serta hikayat-hikayat palsu menceritakan tentang peristiwa Karbala. Masih terdapat banyak lagi perkara yang bertentangan dengan syarak dilakukan oleh kelompok Syiah ini pada hari Asyura.

Golongan kedua pula menyambut hari Asyura sebagai satu hari perayaan yang penuh dengan kebahagiaan. Kelompok ini terdiri daripada golongan ahli sunah yang jahil.

Mereka yang memusuhi Saidina Ali serta ahli keluarganya, penjilat kerajaan Bani Umaiyah serta mereka yang membenci golongan Syiah al-Rafidhah dan menterjemahkan kebencian mereka itu dengan melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Syiah iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari Asyura.

Mereka menyambut hari Asyura bagaikan suatu pesta, menghias bandar-bandar mereka dengan indah, memasak makanan tertentu lalu bersedekah kepada orang ramai. Menyediakan makanan yang lazat-lazat dan lain-lain lagi upacara yang mencerminkan ia suatu hari untuk bergembira seperti hari raya.

Perbuatan kelompok ini juga bertentangan dengan syarak apatah lagi jika dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemimpin kepada para pemuda yang menghuni syurga.

Wajarkah suasana yang gembira dihubung-kaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan yang tinggi bagi masyarakat Islam?

Apatah lagi tidak pernah ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w. untuk menyambut hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah para sahabat.

Para salafussoleh serta imam- imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan yang sedemikian rupa. Oleh itu sambutan sedemikian rupa merupakan suatu amalan bidaah yang sewajarnya di hindari oleh umat Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunahku dan sunah para Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat. (Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3991).

Jika kedua-dua cara menyambut hari Asyura seperti di atas adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama maka apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari Asyura?

Hari Asyura dan amalan-amalan sunah berkaitan

Terdapat banyak kisah yang dihubung-kaitkan dengan hari Asyura. Namun sebenarnya ia tidak memiliki sandaran yang kukuh. Ternyata cerita yang sah berkaitan dengan hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari tentera Firaun.

Ini kerana kesahihan kisah tersebut berlaku pada hari Asyura diperakui oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat di dalam Shahih al-Bukhari:

Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w.: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. (Riwayat Bukhari no: 4680).

Oleh itu sewajarnya kita tidak menghubung kaitkan apa-apa peristiwa berkaitan hari Asyura melainkan terdapat dalil yang sah daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.

Ibnu Abbas r.a. pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini. (Riwayat Bukhari, no: 2006).

Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim, no: 1163).

Allah juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya (hari Asyura) kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya. (Riwayat Bukhari no: 1892).

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Riwayat Imam Ahmad, no: 2047).

Rasulullah tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.

Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w. ini.

Muharram - Antara fadhilat dan kepalsuan

Bulan Muharram merupakan bermulanya tahun baru didalam kalendar Islam. Artikel lalu telah membicarakan mengenai beberapa kelemahan fakta apabila membicarakan mengenai peristiwa hijrah Nabi :saw. Kelemahan-kelemahan ini adalah disebabkan oleh beberapa kitab-kitab sirah yang mengambil cerita berdasarkan kepada hadith-hadith dhaef.

Masyarakat kita telah didedahkan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini dengan upacara membaca do'a akhir dan awal tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si-penerima do'a ini bahawa : "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun." dan juga "Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan".

Komentar kami adalah bahawa do'a ini tidak datang dari Nabi :saw, dan haram kita menyandarkan do'a kepada kepada Rasulullah :saw, kerana do'a ini tidak terdapat didalam mana-mana kitab sunnah. Mungkin persoalan yang timbul adalah : kepada siapa pula syaitan ini berjanji? Kami mengandaikan bahawa ini merupakan harapan dan cita-cita si-penulis do'a ini, dimana seolah-olah syaitan telah berjanji dengan dia.

Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca do'a ini, kerana maknanya pun tidak menyalahi syara'. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama do'a ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah do'a ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan do'a tersebut.

Semua orang maklum bahawa do'a tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi :saw sahaja. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syara', tidak berbunga-bunga atau keterlaluan, maka bacalah apa sahaja do'a yang kita hajati.

Bulan Muharram juga terdapatnya hari yang dinamakan Hari Asyura' yang berlaku pada 10 Muharram setiap tahun. Kebanyakkan kita banyak menerima e-mail yang menceritakan mengenai fadhilat hari Asyura'. Diantara fadhilat-fadhilatnya adalah :-

  1. Melapangkan masa / belanja anak isteri. Fadhilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
  3. Menunjukkan orang sesat. Fadhilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
  4. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. Fadhilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
  5. Bersedekah. Fadhilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  6. Mandi Sunat. Fadhilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu
  7. Bercelak. Fadhilatnya - tidak akan sakit mata pada tahun itu
  8. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
  9. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
  10. Membaca - "ham biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru". Fadhilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
  11. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilatnya - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  12. Puasa - Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Jika diberi penilaian kepada amalan diatas, hanya satu amalan sahaja yang sahih digalakkan kita melakukannya pada hari Asyura', iaitu berpuasa. Akan tetapi, fadhilatnya yang menjanjikan ganjaran 1,000 kali haji adalah DUSTA! Fadhilat berpuasa terdapat didalam riwayat Abu Qatadah ra, beliau berkata : Rasulullah saw bersabda :

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

Punca-punca fadhilat amalan-amalan hari Asyura' kebanyakkannya berunsurkan hadith-hadith yang sangat lemah dan palsu. Tidak cukupkah fadhilat berpuasa yang menghapuskan dosa kita lalu? Fadhilat mana yang lebih baik dari fadhilat Allah mengampuni dosa-dosa hambanya?

Berkata Imam Ibn al-Qayyim rh :-

أحاديث الاكتحال يوم عاشوراء، والتزين، والتوسعة والصلاة فيه، وغير ذلك من فضائل، لا يصح منها شيء، ولا حديث واحد، ولا يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم فيه شيء، غير أحاديث صيامه، وما عداها فباطل. وأمثل ما فيها: "من وسَّع على عياله يوم عاشوراء، وسع الله عليه سائر سنته"، قال الإمام أحمد: لا يصح هذا الحديث.

"Hadith-hadith tentang bercelak pada hari Asyura', berhias, meluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada harinya dan lain-lain kelebihan tidak ada sesuatupun yang sahih, Ia tidak thabit dari Nabi :saw mengenainya selain dari hadith-hadith tentang puasa. Perkara yang selain dari amalan berpuasa adalah Batil. Misalnya : "Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun." [Fiqh al-Shiyam, al-Qaradhawi, ms 144].

Saban tahun fadhilat-fadhilat ini disebarkan melalui media-media tertentu. Kalau dahulu, perawi hadith-hadith palsu ini menyebar dari mulut ke mulut, tapi kini, perawi-perawinya semakin advance! Mereka cuma perlu menekan tombol FORWARD didalam perisian e-mail masing-masing. Kaedah penyebaran semakin moden, akan tetapi nilai-nilai ilmiyyah masih lagi di takuk lama. Kita masih lagi dihanyutkan dengan fadhilat bubur Asyura'.

Semua umat Islam harus menyahut seruan meneliti kesahihan sesuatu berita sebelum menyebar atau mengamalkannya. Jika kita lihat perkembangan kitab-kitab berbahasa Arab, walaupun judul dan pengarangnya merupakan sarjana-sarjana dahulu, akan tetapi kitab-kitab tersebut telah dinilai semula (tahqiq) dan pelbagai percetakan. Hadith-hadith yang terdapat didalam kitab-kitab tersebut telah di takhrij dan diberikan statusnya. Inilah kekuatan kesarjanaan Islam, saling memperkukuhkan diantara satu sama yang lain, dari zaman ke zaman.

Ayoh kawan-kawan sekalian, kita didik bangsa dan keturunan kita dengan ilmu-ilmu Islam yang tulen. Kita bukan sahaja memberi mereka makan makanan yang halal dan baik, kita juga memberikan rohani mereka makanan dari ilmu-ilmu Islam yang tulen, yang jauh dari kepalsuan. Jauhilah jiwa-jiwa mereka dari menghayati cerita-cerita yang tidak tidak ada sandaran. Persoalannya : apakah tahun hadapan kita masih lagi menjadi perawi digital kisah-kisah dusta ini??

kamin, 9 Muharram (28 Jan 2007), 5:20pm.

Saturday, January 20, 2007

Puasa 'Aasyura Dan Taasuaa'

Petikan dari kitab :

Taisir al-Fiqh fi Dhau' al-Quran dan al-Sunnah (Fiqh al-Siyam) : Cetakan ketiga Muassasah al-Risalah. m.s. 142 - 145.
Oleh : Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi.



'Aasyura (عاشوراء) ialah hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram (المحرم ). Manakala Taasuaa' (تاسوعاء) adalah hari yang kesembilan dari bulan yang sama. Zahir daripada himpunan khabar (hadith-hadith) bahawasanya puasa 'Asyura adalah sesuatu yang dikenali di sisi kaum Quraish (قريش) pada zaman Jahiliyyah, dan demikian juga dikenali (puasa 'Asyura) di sisi penganut Yahudi.

Kata 'A-isyah r.'anha :

"Hari 'Asyura adalah satu hari yang orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah s.a.w. juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura dan baginda menyuruh Umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, Nabi s.a.w. bersabda :

مَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ

Maksudnya : "Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari 'Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa 'Asyura)" (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata Ibn 'Abbas r.a. : "Ketika Nabi s.a.w. sampai ke madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura. Lalu Baginda bersabda :

ما هذا ؟ قالوا: هذا يوم صالح، نجّى الله فيه موسى وبني إسرائيل من عدوهم، فصامه موسى، فقال: "أنا أحق بموسى منكم" فصامه وأمر بصيامه

Maksudnya : "Hari apakah ini (di sisi kamu) ?" Orang-orang Yahudi menjawab : "Hari ini adalah hari yang baik. ALLAH telah memenangkan padanya Musa dan Bani Isra-il daripada musuh mereka (Fir'aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini ('Asyura)." Sabda Nabi s.a.w. : "Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu semua (orang-orang Yahudi)." Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut ('Asyura) dan mengarahkan (para Sahabat) berpuasa padanya." (Hadith riwayat al- al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memfardhukan (mewajibkan) puasa pada hari 'Asyura diperingkat awal, sehingga baginda mengutus seorang utusan untuk memberitahu kepada manusia lain untuk berpuasa pada siang hari 'Asyura sekalipun mereka telah makan (sebelumnya). Apabila difardhukan puasa Ramadhan, maka dihapuskan kefardhuannya (dihapus kefardhuan puasa 'Asyura). Maka jadilah puasa 'Asyura sebagai sunat sahaja.

Dari Abi Qatadah r.a. sabda Nabi s.a.w. :

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

Maksudnya : " Puasa hari 'Arafah menghapuskan (dosa) dua tahun : Tahun yang lalu dan yang akan datang. Sedang puasa hari 'Asyura menghapuskan (dosa) setahun yang lalu." (Hadith riwayat al-Jama'ah, kecuali al-Bukhari dan al-Tirmizi – al-Muntaqa bersama Nail al-Author, 4/323)

Nabi s.a.w. benar-benar mahu membezakan syakhsiah Islamiah (dari yang lain) dalam setiap perkara. Supaya Umat Islam merdeka / berbeza dari penganut yang lain, lalu baginda menganjurkan puasa pada hari kesembilan (dalam bulan Muharram) bersama dengan puasa pada hari kesepuluh (dalam bulan Muharram), supaya dapat dibezakan antara puasa Umat Islam dengan puasa Ahli Kitab.

Dari Ibn 'Abbas r.a. katanya :

لما صام رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء, وأمر بصيامه, قالوا: يا رسول الله، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى! فقال: "فإذا كان العام المقبل إن شاء الله صمنا اليوم
التاسع" قال: فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya : "Ketika Nabi s.a.w. berpuasa pada hari 'Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa padanya."Para Sahabat berkata : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara." Lalu Sabda Nabi s.a.w. : "Maka pada tahun hadapan insyaALLAH kita akan berpuasa (bermula) pada hari kesembilan." Lalu Ibn 'Abbas menceritakan : "Tidak sempat datang tahun hadapan, Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh ALLAH s.w.t.)." (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)

Tidak didapati sesuatu yang lain sempena 'Asyura selain puasa. Adapun perkara yang diada-adakan oleh sebahagian manusia seperti berhias, mandi, bercelak, dan meluaskan berbelanja ahli keluarga pada hari itu, atau menjadikan hari tersebut sebagai perayaan yang disembelih padanya binatang sembelihan, dan meluaskan / perbanyakkan sesuatu amalan padanya- Semua ini daripada sesuatu yang tidak ada asalnya dari agama ALLAH, dan tidak ada dalil atasnya sesuatu dalil yang sahih.

Zahirnya perkara-perkara ini dilakukan sebagai membantah perbuatan Syiah yang menjadikan hari 'Asyura sebagai hari kesedihan dan tahun kemurungan (seperti apa yang dilakukan wanita yang kematian suami), memukul dada, menampar pipi, dan mengoyak pakaian sebagai mengingati musibah yang berlaku kepada al-Syahid yang dizalimi al-Husain bin 'Ali r.'anhuma.

Semua dua golongan ini berada dalam kesalahan. Tidak boleh mengubah Bid'ah dengan Bid'ah, tidak boleh membaiki sesuatu yang diubah (dalam ugama) dengan sesuatu lain yang diubah juga. Sebaliknya rujukan dalam semua hal adalah apa yang disyariatkan oleh ALLAH dan RasulNYA. Al-Imam Ibn-Qayyim berkata :

Maksudnya : "Hadith-hadith tentang bercelak pada hari 'Asyura, berhias, memluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada hari 'Asyura dan selainnya dari perkara-perkara kelebihan tidak ada yang sahih sesuatupun, demikian juga tidak ada satu hadith, tidak ada yang thabit dari Nabi s.a.w. sesuatupun selain dari hadith-hadith tentang puasa. Dan apa yang lain dari puasa adalah Batil. Contoh dalam perkara ini ialah (hadith rekaan) :

من وسع على عياله يوم عاشوراء, وسع الله عليه سائر السنته.

"Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, ALLAH akan meluaskan untuknya sepanjang tahun."

Imam Ahmad berkata : "Hadith ini tidak Sahih."

Adapun hadith tentang bercelak, memakai minyak dan wangian adalah dari pemalsuan para pendusta, mereka (mengada-adakan semua ini untuk) membantah golongan lain yang menjadikan hari 'Asyura sebagai hari kesedihan. Kedua-dua golongan ini adalah dari puak-puak Bid'ah yang terkeluar dari Sunnah Nabi s.a.w. Sedangkan Ahl al-Sunnah pada hari 'Asyura melakukan ibadat puasa seperti apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. dan mereka menjauhi apa-apa yang disuruh oleh Syaitan dari perkara-perkara Bid'ah." (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaief)

Telah ditanya kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang apa yang dilakukan oleh manusia pada hari 'Asyura seperti bercelak, mandi (hari 'Asyura), mewarnakan rambut, bersalaman, memasak biji-bijian, menzahirkan keseronokan dan lain-lain. Apakah ada tentang perkara ini dari Nabi s.a.w. satu hadith yang sahih atau tidak ada ? Jika tidak ada hadith yang Sahih tentang perkara itu, apakah ianya termasuk di dalam Bid'ah ataupun tidak ? Dan bagaimana pula perbuatan satu golongan lain yang menzahirkan kesedihan, berdahaga dan selainnya seperti ratapan, mengoyak bayu. Apakah perkara ini ada asal (dalam agama) atau tidak ?

Jawab Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah : "Alhamdulillahi rabb al-'Alamien, tidak ada satupun dalam perkara itu hadith yang sahih dari Nabi s.a.w. Tidak juga dari para sahabat baginda. Dan tidak ada seorangpun dari kalangan para Imam orang Islam menganggap ianya sunat, tidak di kalangan para Imam (mazhab) yang empat, tidak juga selain mereka. Ulama hadith yang menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan tidak meriwayatkan tentang perkara itu. Tidak dari Nabi s.a.w. tidak juga dari para sahabat baginda, tidak juga dari Tabi'ien. Tidak (diambil perkara itu) dari yang Sahih mahupun yang Do'ief. Tidak ada di dalam kitab yang yang Sahih, tidak ada di dalam kitab-kitan Sunan, tidak ada juga di dalam kitab-kitab Masanid. Tidak dikenali sesuatupun dari hadith-hadith ini pada zaman yang utama (Zaman Nabi dan para sahabat, Tabi'ien dan tabi' al-Tabi'ien). Akan tetapi sebahagian generasi kemudian meriwayatkan hadith-hadith dalam perkara tersebut seperti apa yang diriwayatkan mereka :

من اكتحل يوم عاشوراء لم يرمد من ذلك العام، ومن اغتسل يوم عاشوراء لم يمرض ذلك العام

Maksudnya : [/i]"Sesiapa yang bercelak pada hari 'Asyura, dia tidak akan terkena penyakit mata pada tahun itu. Sesiapa yang mandi pada hari 'Asyura, dia tidak akan sakit pada tahun itu." Dan contoh-contoh yang lain.[/i]

Demikian juga mereka meriwayatkan tentang kelebihan solat hari 'Asyura, mereka meriwayatkan juga bahawasanya pada hari 'Asyura bertaubatnya Nabi Adam, berlabuhnya bahtera (Nabi Nuh) atas (Bukit) Judi (الجودي), bertemunya Nabi Yusuf dengan Nabi Ya'kub, terselamatnya Nabi Ibrahim dari api, digantikan Nabi Ismail dengan Kibas dan seumpama dengannya.

Mereka telah meriwayatkan satu hadith yang palsu, pembohongan atas Nabi s.a.w. :

أنه من وسع على أهل يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر السنة

Maksudnya : "Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, ALLAH akan meluaskan untuknya sepanjang tahun." Riwayat seperti ini semuanya pendustaan atas Nabi s.a.w.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut : "bahawasanya al-Husain r.a. apabila dibunuh syahid secara zalim, ALLAH memuliakannya sehingga ia sempat bersama keluarganya yang suci dan ALLAH menghinakan sesiapa yang menzaliminya dan memusuhinya. Perkara itu menjadi sebab kejahatan di kalangan manusia. Maka wujudlah golongan yang jahil dan zalim, samaada golongan Mulhid yang hipokrit, atau golongan sesat yang ingin menzahirkan rasa kecinta mereka kepada Ahl al-Bait. Mereka menjadikan hari 'Asyura sebagai hari bersedih dan hari ratapan. Mereka menzahirkan padanya syiar-syiar Jahiliyyah seperti menampar pipi, mengoyak pakaian dan memberi ucap takziah secara jahiliyyah.

Maka satu golongan lain menentang golongan ini, samaada golongan itu dari kalangan al-Nawasib (النواصب) ) yang ta'asub dengan al-Husain dan ahli keluarganya. Ataupun dari golongan jahil yang ingin menghadapi kejahatan dengan kejahatan, menghadapi pembohongan dengan pembohongan, keburukan dengan keburukan, menghadapi bid'ah dengan bid'ah. Maka mereka memalsukan athar-athar untuk menzahirkan syiar-syiar keseronokan pada hari 'Asyura seperti bercelak, mewarnakan janggut, meluaskan nafakah kepada ahli keluarga, memasak makanan yang diluar daripada adapt kebiasaan dan seumpamanya sama seperti yang dilakukan pada hari raya dan sesuatu musim keseronokan. Maka jadilah golongan ini menjadikan hari 'Asyura sebagai satu musim seperti hari raya dan hari kegembiraan. Sedangkan satu golongan lagi menjadikan hari 'Asyura sebagai hari bersedih, yang mereka menzahirkan padanya kesedihan. Kedua-dua golongan ini adalah golongan yang salah yang terkeluar dari Sunnah Nabi s.a.w." (Majmu' Fatawa Ibn Taimiyyah : 307 – 310)


Terjemahan oleh : Mohamad Abdul Kadir Sahak

Kelebihan Berpuasa 'Asyura

Rosli Mohamad - KomagUSA
Petikan dari kitab Puasa Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi-jilid 4 ms.121

Berpuasa pada hari Asyura dapat melupuskan dosa tahun sebelumnya.

Rasullullah SAW bersabda, Maksudnya:

?Berpuasa pada hari Arafah, aku berdoa agar ALLAH menghapuskan dosa bagi tahun sebelumnya dan tahun selepasnya dan berpuasa pada hari Asyura, aku berdoa agar ALLAH menghapuskan dosa tahun sebelumnya.? (Hadith diriwayatkan oleh Muslim:1162)



Inilah limpahan rahmat daripada ALLAH dimana dengan berpuasa sehari dapat melupuskan dosa sepanjang tahun. Rasullullah SAW sentiasa menunggu untuk berpuasa Asyura kerana ganjarannya sangat besar.

Ibn. Abbas r.a berkata:
Maksudnya:

?Aku tidak pernah melihat Rasullullah SAW begitu berusaha untuk memastikan baginda berpuasa pada mana-mana hari tertentu kecuali hari ini, iaitu hari Asyura dan bulan ini bulan Ramadhan.?
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari: 1867)

Apa yang dimaksudkan dengan berusaha untuk memastikan baginda berpuasa ialah baginda ingin mendapatkan ganjaran pahala berpuasa pada hari itu. Kedua, berkaitan dengan alasan Rasullullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menggesa orang ramai mengikuti jejaknya telah diterangkan di dalam hadith Ibn. Abbas r.a beliau berkata:
Maksudnya:

?Rasullullah SAW datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda berkata: Apakah ini? Mereka menjawab: ini hari baik. Inilah hari di mana ALLAH menyelamatkan Bani Israil daripada musuh-musuh mereka dan Musa berpuasa pada hari ini. Baginda bersabda: Kami lebih berhak kepada Musa berbanding kamu. Jadi baginda berpuasa pada hari tersebut dan memberitahu orang ramai agar berbuat demikian.?
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari: 1865)

Perkataan ini hari baik mengikut versi yang diriwayatkan oleh Muslim:
Inilah hari kebesaran di mana ALLAH menyelamatkan Musa dan pengikutnya dan menengelamkan Firaun dan pengikutnya.

Perkataan dan Musa berpuasa pada hari ini, Muslim menambahkan di dalam riwayatnya:
Maksudnya:

"Sebagai tanda bersyukur kepada ALLAH, kami berpuasa pada hari ini."

Mengikut satu lagi versi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:
Maksudnya:

"Jadi, kami berpuasa bagi membesarkan-Nya."

Perkataan dan memberitahu orang ramai agar berbuat, mengikut satu lagi versi yang di riwayatkan oleh al-Bukhari.
Maksudnya:

Baginda berkata kepada para sahabatnya: "Kamu lebih berhak ke atas Musa berbanding mereka, maka berpuasalah pada hari ini."

Ketiga, pelupusan dosa hanya diperoleh melalui berpuasa Asyura merujuk kepada dosa-dosa kecil. Berhubung dengan dosa-dosa besar, ia memerlukan taubat yang berlainan.

Al-Nawawi r.h berkata:
?Berpuasa pada hari Arafah melupuskan semua dosa kecuali dosa besar?.

Kemudian beliau berkata:
?Berpuasa pada hari Arafah melupuskan dosa dua tahun dan berpuasa pada Asyura melupuskan dosa satu tahun dan jika ucapan ?amin? seseorang itu serentak dengan ucapan ?amin? para malaikat, dosanya sebelum ini dilupuskan. Setiap perkataan yang disebut mungkin membawa kepada pelupusan dosa. Jika dia melakukan sesuatu yang melupuskan dosa kecil, maka dosanya terampun. Jika dia tidak ada dosa kecil atau dosa besar, ia akan dicatatkan sebagai amalan baik dan martabatnya dinaikkan. Jika terdapat satu dosa besar atau lebih dan tiada dosa kecil, kami berharap agar puasa itu mengurangkan dosa besarnya.?
(Al-Majmu? Syarh al-Muhazzab)

Syeikh al-Islam Ibn. Taimiyyah r.h. berkata:
?Pelupusan dan pemurnian solat, puasa, puasa Ramadhan, Arafah dan Asyura, tergolong dalam dosa-dosa kecil sahaja?
(Al-Fatawa al-Kubra, jilid:5)

Amalan Berdoa Awal dan Akhir Tahun

leh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takir

Semalam, 17 januari 2007, dalam satu kuliah untuk muslimat tentang ma`al hijrah, seorang muslimat menimbulkan persoalan: amalan-amalan yang sudah biasa dilakukan oleh orang Melayu sejak beberapa lama tentu ada sandarannya daripada al-Quran dan Sunnah. Contohnya amalan berhimpun malam nisf Sya`ban. Persoalan ini beliau timbulkan apabila saya membangkitkan persoalan amalan baca doa awal dan akhir tahun. Menarik juga soalan dan hujahan ini.

Ia menggambarkan cara berfikir masyarakat awam. Mereka meletakkan keyakinan penuh kepada ahli-ahli agama. Amalan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli agama sejak berzaman tentu ada sandarannya. Ahli-ahli agama yang dimaksudkan oleh saya di sini ialah para imam di masjid dan surau dan mereka yang bergelar “asatizah” ; guru-guru agama.

Keyakinan tinggi mereka kepada perlakuan ahli agama ini memang tepat. Orang yang jahil tentu bergantung ilmu kepada yang lebih alim. Dalam konteks masyarakat awam tentu mereka menggantungkan kepercayaan ilmu sepenuhnya kepada ahli agama yang hampir dengan mereka. Mereka yakin, ahli agama tentuna merujuk kepada al-Qur’an dan hadith.

Tinggal lagi persoalan ialah bagi pihak ahli agama itu sendiri. Adakah amalan yang dilakukan adalah berasaskan ilmu dan pengkajian? Dengan merujuk kepada al-Qur’an dan hadis? Merujuk kepada tulisan ulama mu`tabar? Atau berdasarkan ikutan pada perlakuan orang sebelumnya? Ahli agama perlu sentiasa menambahkan ilmu. Perlakuan mereka mesti berasaskan ilmu. Maksud ilmu ialah dengan merujuk kepada al-Qur’an, al-Hadith dan perbahasan tokoh-tokoh ulama.

Persoalan yang penting di sini; adakah amalan membaca doa awal dan akhir tahun dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama? Adakah ia sememangnya disebut oleh ulama-ulama besar hatta dalam mazhab Shafi`I?

Saya melihat amalan membaca doa ini hanya dinukilkan dalam buku-buku amalan yang ditulis dan disebarkan secara meluas di alam Melayu. Buku-buku ini pula tidak menyebut sumber rujukan amalan tersebut. Apa hadithnya? Siapakah kalangan ulama silam yang memperakuina? Justeru, masalah sebenarnya ialah pada penulis-penulis buku-buku amalan ini. Mereka sebenarnya hanya mencatatkan amalan itu berasaskan amalan yang telah diterima turun temurun diamalkan di masjid-masjid dan surau-surau. Bukan berasaskan rujukan kepada tulisan ulama muktabar. Di sinilah masalahnya.

Hari ini rujukan para guru agama lebih meluas. Mereka merujuk kepada tulisan-tulisan ulama-ulama terkenal di zaman silam dan ulama terkenal kontemporari. Mereka mendapati amalan membaca doa awal dan akhir tahun ini tidak disebut oleh para ulama terkenal. Amalan ini tidak pernah berlaku dizaman Rasulullah saw malah pada zaman sahabat. Ia juga tidak diamalkan oleh tokoh=tokoh ulama. Bagimana ia menyerap masuk dan diamalkan di alam Melau? Saya tak ada jawapan bagi persoalan ini. Apa pun, tinggalkan hakikat ini dulu. Kita berpindah pada hakikat yang lebih penting, yang boleh menentukan samada amalan yang dibuat itu tepat atau tidak.

Cukup untuk memahami persoalan ini dengan merujuk sejarah penentuan tahun Islam. Ia hanya berlaku pada zaman Umar iaitu pada tahun ke 17 hijrah. Ia dinukilkan oleh Abu Nu`aim dalam karya tarikh beliau. Sebelumnya umat Islam hanya menggunakan hari dan bulan tanpa tahun. Umar yang berijtihad mencipta tahun berdaarkan peristiwa hijrah Rasulullah saw. Justeru ia dikenali sebagai Tahun Hijri. Umar juga ang berijtihad menentukan Muharram sebagai bulan pertama bagi calendar hijri ini. Ceritanya panjang akan saya bicarakan kemudian. Jadi, kalau penentuan tahun berlaku zaman umar, tentunya penentuan awal tahun juga berlaku zaman Umar. Jika berlaku zaman Umar, amat mustahil amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun berlaku zaman nabi. Juga amat mustahil doa itu dibaca oleh Nabi saw. Justeru, jangan sama sekali menyandarkan amalan tersebut kepada nabi saw. Jangan menyandarkan doa tersebut kepada nabi! Inilah keyakinan yang salah!

Begitu juga dengan amalan membca Yasin dan diniatkan tiga perkara; panjang umur, murah rezki dan mati dalam iman. Tak ada satu nas daripada ulama yang menggesa umat melakukan amalan ini. Apatah lagi sumber Islam iaitu al-Qur’an dan Sunnah.

Amalan berdoa awal tahun dan akhir tahun serta membaca Yasin dengan tiga niat tadi tidak pernah dilakukan oleh para sahabat. Bahkan juga para ulama yang mu`tabar. Justeru, kenapa begitu bersemangat untuk melakukan amalan yang tidak dilakukan oleh generasi awal Islam dan tokoh ulama Islam? Baginda bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِيْنَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “sesiapa yang mengada-adakan di kalangan kami sesuatu yang bukan daripadanya (agama) maka ia tertolak”.

Namun, untuk berhimpun di awal tahun, bagi saya tidak ada kesalahannya. Sememangnya kita sepatutnya berhimpun setiap malam di rumah-rumah Allah. Tapi jadikan malam itu sebagai malam ilmu dengan disampaikan kuliah tentang Islam dan sejarah hijrah Rasulillah saw. Alangkah baiknya.

Tapi, macamana kalau mereka nak lakukan juga? Kata Imam Ahmad; jelaskan kepada umat apa itu sunnah, dan jangan bertekak bertegang leher! Jadi, sampaikan kepada mereka apa yang benar. Jika mereka berdegil, biarkan….mudah- mudahan di kesempatan lain boleh kita betulkan. Jangan pula lari meninggalkan masjid. Jangan jadikan dia sebagai medan perpecahan ummat. Perlakuan membaca Yasin bukannya haram. Tapi keyakinan mereka yang mesti diperbetulkan.

--------------------
http://www.darulfuqaha.com/

Hadis Palsu tentang Kelebihan Doa Awal & Akhir Tahun

Oleh al-ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Laman web http://www.islam. gov.my/program/ doa.html mencatatkan satu hadis tentang kelebihan membaca doa awal tahun bermaksud: sesiapa yang membaca ini, syaitan berkata “kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak- Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Sememangnya menjadi amalan sebahagian masyarakat Muslim Melayu berhimpun pada hari terakhir tahun hijri untuk berdoa dengan doa awal tahun dan akhir tahun. Doa yang selalu dibaca dan kononnya datang daripada Nabi berbunyi:

اللهم ما عملته في هذه السنة مما نهيتني عنه ولم ترضه ، ونسيته ولم تنسه ، وحلمت عليَّ في الرزق بعد قدرتك على عقوبتي ، ودعوتني إلى التوبة بعد جراءتي على معصيتك ، اللهم إني استغفرك منه فاغفر لي ، وما عملته فيها من عمل ترضاه ووعدتني عليه الثواب فأسألك يا كريم ، يا ذا الجلال والإكرام أن تقبله مني ، ولا تقطع رجائي منك يا كريم ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Ulasan

Hadis tidak diriwayatkan dalam mana kitab-kitab hadis. Penentuan awal tahun dan akhir tahun hanya berlaku di zaman Umar iaitu pada tahun ke 17 hijrah atau selepas 7 tahun kewafatan Nabi. Bagaimana mungkin baginda menjelaskan hadis ini dan doa awal tahun kepada para sahabat?


Justeru hadis ini adalah palsu dan haram serta tidak wajar disebarkan.

Baginda bersabda:مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “sesiapa yang berdusta menggunakan nama ku,maka tersedialah untuk dirina satu tempat duduk dalam neraka.” (hadis riwayat Bukhari dan Ahmad)


Diriwayatkan daripada Samurah bahawa Nabi bersabda:

مَنْ حدَّثَ عنِّي بحديثٍ يرى أنَّه كذبٌ فهو أحدُ الكاذبيـن

Maksudnya: “sesiapa yang bercerita atas namaku satu hadis yang dirasakannya bohong, maka dia adalah salah seorang pembohong. (hadis riwayat Muslim)

Bulan Muharam - Elakkan sebarang kepercayaan karut

Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB

KESEDARAN umat Islam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik.

Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat, iaitu semoga ia akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak.

Namun, peringatan Nabi s.a.w. di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja.


Daripada Aisyah r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama), maka ia akan tertolak. (Riwayat Muslim).

Sebab itulah para ulama, di antaranya ialah al-Fudhail bin `Iyadh meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah s.w.t. dan bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. Al-Fudhail mentafsirkan firman Allah di dalam surah Hud ayat 8 dan surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:

Allah menjadikan semua itu untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya,'' beliau berkata: Iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan ikhlas dan tepat.

Beliau berkata lagi: Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah `Azza wa Jalla, dan yang dikatakan tepat itu ialah ia bertepatan dengan sunah. (Ibn Rejab, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, Tahqiq: Dr. Yusof al-Baqa'i (Beirut: al-Maktabah al-'Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula, adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan.

Di antara amalan-amalan pada bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih ialah:

1. Memakai celak pada hari Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu' (palsu) yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari Asyura, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu' (palsu). Imam Ahmad berkata: ``Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah s.a.w. tentang amalan memakai celak pada hari Asyura, dan ia adalah bidaah.''

2. Solat sunat yang khusus pada hari Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu': ``Sesiapa yang sembahyang padanya (hari Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad), maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun.''

3. Mandi yang khusus pada hari Asyura dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang penyakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu': ``Sesiapa yang mandi dan bersuci pada hari Asyura, ia tidak akan ditimpa sebarang penyakit pada sepanjang tahun, kecuali mati.''

4. Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari Asyura dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman dan pakaian) kepada ahli keluarganya pada hari Asyura, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki sepanjang tahunnya. Hadis ini hukumnya maudhu', disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at,2/115).

5. Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur Asyura) yang dikaitkan dengan sunah Rasulullah s.a.w. atau disandarkan kepada peristiwa Nabi Nuh a.s. yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar.

Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ia bersumberkan cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Qashas al-Anbiya.

6. Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas, sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam.

Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

As-Syiekh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' menyebut bahawa kebanyakan hadis maudhu' yang berkaitan dengan amalan pada bulan Muharam khususnya pada hari Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh Husain.

Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-'Izz al-Hanafi: ``Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi s.a.w. sebarang amalan pun pada hari Asyura selain puasa Baginda.

Ada pun golongan Rafidhah melakukan bidaah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan Husain pada hari ini.

Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan daripada biji-bijian (bubur) dan memakai celak, dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu' tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga.''

(Syiekh Ali Mahfuz, al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum Muslimin.

Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunah Baginda s.a.w. dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. untuk mengikuti sunah Rasulullah s.a.w.

Sumber: Utusan Online

Thursday, January 18, 2007

Khutbah Jumaat: Di Antara Mengejar Upah, Menidurkan pendengar dan Peringatan Bagi Ummat

Saya tidak tahu berapa ramai orang yang apabila datang bersolat Juma'at setiap minggu meletakkan harapan yang tinggi agar dapatmembawa pulang pelajaran-pelajaran dan mutiara-mutiara berharga setelah mendengar khutbah Jumaat.

Tidak dapat juga saya pastikan berapa ramai orang yang apabila pergi ke masjid pada hari Jumaat meletakkan hasrat agar apabila pulang ke rumah maka keimanan, ilmu dan penghayatan agamanya semakin bertambah. Namun yang pasti pada peringkat individu saya meletakkan azam yang begitu menggunung agar diri ini menjadi lebih berilmu, bertaqwa dan iltizam kepada Islam bertambah mantap sekembalinya dari mendengar khutbah Jumaat.

Walaupun harapan yang diletakkan begitu menggunung namun minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun harapan itu semakin lama semakin luluh dan terhakis setiap kali bila mendengar khatib membuka mulutnya untuk membaca khutbah.

Kebanyakan khatib yang membaca khutbah adalah dari kalangan manusia-manusia yang kurang dari segi ilmu dunia mahupun akhirat. Mereka tidak boleh membaca bahasa Melayu mahupun bahasa Arab dengan baik. Apabila mereka membaca ayat-ayat Al Qur'aan mahupun hadith-hadith Nabi saw nescaya mereka akan membacanya secara tunggang-langgang. Ayat-ayat Al Qur'an sering bertukar makna apabila dibaca oleh mereka. Kalau tidak pandai membaca Al Qur'an mungkin kerana mereka orang Melayu sedangkan Al Qur'an dalam bahasa Arab tetapi apakah alasan mereka untuk buta Jawi ? Mengapakah `bayi-bayi dalam kandungan' dibaca sebagai babi-babi dalam kandang ?

Fenomena khatib-khatib ini yang memberikan khutbah berkualiti sangat rendah semakin menjadi-jadi walaupun masjid tersebut begitu baru, indah dan tersergam. Puncanya mungkin kerana beberapa faktor.

Pertamanya ialah kerana sikap khatib tersebut yang malas, tidak mahu berubah dan tidak memandang serius kerja memberi khutbah. Menyampaikan khutbah dilakukan bagai melepaskan batuk di tangga. Tiada persediaan langsung dilakukan untuk membaca khutbah walaupun teks telah diterima beberapa minggu sebelum tarikh penyampaian.

Bacaan khutbah dilakukan secara merangkak bagaikan budak baru belajar mengeja yang belum masuk jawi lagi. Walaupun sudah 20 tahun menyampaikan khutbah si khatib masih terbata-bata pada ayat Al Qur'an yang sama setiap minggu tanpa perubahan.

Ramai yang membaca khutbah juga secara tidak ikhlas untuk mendapatkan ganjaran Allah. Hanya kerana mengejar duit RM 10 terkadang mereka sanggup bertikam-lidah dan bermasam muka untuk mendapat bayaran kerana membaca khutbah. Tidakkah mereka malu dengan tindakan mereka ini ? Tidakkah mereka malu dengan begitu ramai ahli perniagaan, professional dan pegawai kerajaan yang duduk di hadapan mereka?

Mengapakah mereka langsung tidak peduli untuk membaca sekali-lalu khutbah tersebut sebelum membacanya di khalayak ramai? Adakah setiap minggu ribuan jama'ah yang datang mendengar khutbah hanyalah untuk dibazirkan masa mereka untuk mendengar seorang yang tidak kompeten langsung bercakap tentang agama tanpa ilmu mahupun persediaan.

Bagaimanakah golongan jahil murakkab ini boleh diizinkan menaiki minbar-minbar masjid untuk berkhutbah ?

Golongan agama yang berkelulusan ijazah sarjana muda beribu jumlahnya. Mengapakah mereka ini tidak diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah Jumaat? Kenapakah begitu ramai di kalangan golongan yang sangat buruk kualiti bacaan Al Qur'an diberi tanggungjawab menyampaikan khutbah ? Bukankah khutbah Juma'at merupakan medium yang begitu baik untuk mendidik ummat serta menambahkan taqwa dan amalan mereka? Mengapakah ia dipersia-siakan begitu sahaja setiap minggu ? Pada zaman Nabi saw dahulu Nabi saw menjadi khatib setiap minggu. Begitu juga pada zaman sahabat di mana orang-orang yang terbaik diberi tugas menyampaikan khutbah Jumaat. Malang sekali di masjid-masjid serata negara kita golongan yang berilmu hanyalah menjadi pendengar bacaan khatib yang begitu rendah mutu penyampaian khutbahnya.

Kalaulah faktor gaji menyebabkan orang-orang yang berpendidikan formal dalam bidang agama tidak berkhutbah tidak bolehkah Jabatan agama menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan dan sebagainya agar para ustaz-ustaz di sekolah-sekolah diberi tugas menyampaikan khutbah ? Ini jauh lebih penting dan lebih wajar daripada tugas melatih pelajar untuk pertandingan pantun, nasyid dan sebagainya yang begitu minimal faedahnya kepada masyarakat.

Apakah Jabatan-jabatan agama, Majlis-majlis agama mahupun pejabat-pejabat mufti tidak mempunyai panduan dalam memilih imam dan khatib di masjid-masjid ? Pegawai-pegawai yang menyibukkan diri mereka menangkap orang-orang berkhalwat patut mengambil tanggungjawab ini !

Janganlah sibuk mencari kesalahan orang-orang lain tetapi cuai dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dalam bidang kuasa sendiri! Kemungkaran tersembunyi dalam bilik hotel dicari-cari tetapi kemungkaran bacaan Al Qur'an imam yang mengubah makna ayat-ayat Al Qur'an secara terang-terang tidak langsung diambil tindakan! Hampir

setiap minggu saya menegur imam-imam sebegini namun sampai bila mahu menegur imam-imam dan khatib-khatib tegar yang tidak boleh berubah ? Di mana peranan Jabatan agama ?

Bukankah Nabi saw menyuruh agar orang yang paling menguasai Al Qur'an dilantik menjadi imam? Orang yang paling banyak hafal Al Qur'an, paling baik bacaannya dan paling berilmu tentang Al Qur'an yang sepatutnya menjadi imam serta khatib dan bukannya lebai kampung yang tidak tahu membaca Al Fatihah dengan lancar walaupun usianya sudah lanjut.

Jika kita pergi ke gereja-gereja di Malaysia ini nescaya kita akan lihat betapa lancar, fasih dan menarik ceramah yang disampaikan dalam majlis-majlis di gereja Kristian pada hari Ahad. Tidak cukup dengan itu mereka akan mengadakan majlis dalam pelbagai bahasa untuk menarik pelbagai kaum di Malaysia datang ke gereja-gereja mereka. Bukannya

seperti khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan dalam keadaan makmum melelehkan air-liur ke baju-baju mereka akibat tidur dalam keadaan terlalu bosan.

Di manakah pegawai-pegawai di Jabatan-jabatan agama ? Sampai bila mahu bersenang-lenang di kerusi empuk dalam bilik-bilik berhawa-dingin ? Tidak perlu bercakap tentang gejala sosial, mat rempit, kebejatan aqidah, sumbang mahram dan remaja tidak mahu solat Juma'at. Turunlah padang melihat masjid-masjid di dalam pentadbiran anda! Apa yang telah dilakukan untuk menjadikan pentadbiran masjid secara sistematik,

professional dan bukan ala kampung? Sampai bila imam-imam dan khatib-khatib yang tidak mempunyai kesungguhan langsung dalam menunaikan tanggungjawab mereka dibiarkan menjadi imam dan khatib ?

Mengapakah agama ini dipersembahkan kepada masyarakat dalam keadaan yang begitu hambar, mual dan membosankan? Kalau para imam dan khatib membaca Al Qur'an dalam keadaan gagap bagaimanakah generasi muda akan boleh menguasai Al Qur'an? Janganlah tunggu sehingga masjid diubah-suai menjadi disko, pusat snuker dan pub baru mahu menyesal! Kalau bukan jabatan dan majlis agama yang menjana perubahan maka siapa lagi ? Takkanlah para penghuni pusat serenti dan pemulihan akhlak yang diharapkan menegur dan membetulkan imam-imam ini?

_artikel ini diambil daripada muhammad" im3132002@yahoo.com