Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923)
Maksud keberkatan itu ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, keberkatan sahur itu diperoleh melalui amalan mengikuti sunah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat serta menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar.
Selain itu, ia menjadi sebab untuk orang yang berpuasa bersedekah kepada orang lain, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur. (Rujuk al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 120)
Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadat puasa orang Islam dengan ibadat puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).
Sabda Rasulullah s.a.w.: Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur. (Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no. 643)
Ibadat sahur adalah ibadat yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.
Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: Makan sahur ada keberkatan.
Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664)
Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit. (Riwayat Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1919)
Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu sehingga azan Subuh sedang dilaungkan.
Firman Allah s.w.t.: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib). (al-Baqarah: 187)
Adalah disunahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a. berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian aku pun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1920)
Kadi Iyadh r.h. berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil daripada Fath al-Bari, Jil. 11, hal. 114)
Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat Subuh dikumandangkan.
Menurut Anas r.a., Zaid bin Thabit r.a. berkata, Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w., kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: “Berapa lama antara azan dan sahur?” Baginda menjawab: Kira-kira (membaca) lima puluh ayat. (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1921)
Hadis ini digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah 10 minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak boleh lagi makan dan minum.
Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. langsung mendirikan solat Subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w. memulakan dan mengakhirkan sahur Baginda.
Antara hikmah mengakhirkan atau melewatkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk bersahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.
2. Mengakhirkan bersahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat berasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.
Friday, September 29, 2006
Bersahur cara Rasulullah
Monday, September 25, 2006
Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah
Adab-adab berhubung dengan ibadat mestilah merujuk kepada apa yang ditunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Ada sebahagian pihak yang cenderung untuk mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung ini, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana itu boleh mengurangkan keletihan dan sekaligus menghilang kelebihan puasa.
Sedang di dalam hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam Sunannya, Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas”.
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. [Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut]
Apa yang penting di dalam bulan Ramadhan ialah adab-adab ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran atau al-Sunnah. Dalam artikel ini penulis ingin memberi perhatian kepada adab-adab berbuka puasa. Di antaranya adalah:
Pertama: Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya daripada Sahl bin Sa`d, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1957]
Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata al-Tibi (meninggal 743H):
Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati.
Juga ianya menyanggahi ahli bid`ah yang berpendapat wajib melewatkannya. [al-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut]
Kedua: Berbuka Puasa dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.
Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88).
Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ianya kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ianya mengecut dipanggil tamar.
Di dalam hadith daripada Anas katanya:
Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. [Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah]
Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar dan sekiranya tiada maka dengan air …
Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ianya menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. [al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut]
Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Ketiga: Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan rutab, tamar atau air sekiranya makanan belum dihidangkan.
Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan rutab, tamar atau air sebelum bersolat maghrib.
Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan.
Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.
Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, antaranya daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ianya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 672]
Dalam hadith yang lain daripada `Abd Allah bin `Umar, baginda bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 674]
Riwayat di atas juga menambah:
“Bahawa Ibn `Umar apabila dihidangkan untuknya makanan manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan sedang beliau mendengar bacaan imam.”
Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut.
Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): “Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” [al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut]
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.
Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: “Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat maghrib. Namun ianya juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” [al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir]
Malangnya ada di kalangan orang yang kurang faham lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jamaah. Inilah punca kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabah) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jamaah. [Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut]
Keempat: Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepat dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebih. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan.” [Surah al-`Araf 7:31]
Di dalam hadithnya baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyebut:
Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan.
[Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302 dan beliau berkata: “Hadith ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan]
Hadith ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umatnya jika makan hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.
Sebenarnya jika kita teliti hadith ini maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima, kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
Kelima: Berdo`a ketika berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” [Riwayat Ibn Majah di dalam kitab Sunannya – hadis no: 1753. Sanadnya pada nilaian hasan ke atas. Salah seorang perawinya, Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur‘ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif]
Maka kita boleh berdo`a dengan apa sahaja do`a yang kita hajati. Do`a orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran dosa dan syahwat.
Justeru itu al-Munawi menyebut: “Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota” [Faidh al-Qadir, 2/500]
Terdapat sebuah do`a yang ditunjukkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketika berbuka dan disunatkan untuk kita membacanya:
“Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berbuka, baginda bersabda: “Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insyaAllah.” [Riwayat Abu Daud di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2010, sanadnya hasan]
Keenam: Berdo`a kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka sebagaimana terang Anas bin Malik:
“Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: “Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” [Riwayat Abu Daud, al-Diya al-Maqdisi di dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 5/518 menyatakan ianya sahih]
Maka berdo`alah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Demikianlah antara adab-adab berbuka puasa yang terkandung di dalam sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Semoga pengamalan adab-adab ini akan menambahkan lagi pahala puasa kita.
Hadith Palsu Kelebihan Tarawih
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
- Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
- Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
- Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
- Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
- Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
- Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.
Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.
Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu' ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.
Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.
Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.
Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.
Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
Petikan dari terbitan dan edaran percuma:
DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Saturday, September 23, 2006
Thursday, September 21, 2006
Ketetapan Imsak Sebelum Subuh
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad saw serta para sahabatnya.
Entah bermula dari tahun berapa, umat Islam di negara kita telah mengenali erti imsak sebelum masuknya waktu subuh selama lebih kurang 10 minit. Tetapi ketetapan imsak dengan erti seperti ini tidak pula diketahui di negara-negara Islam yang lain sama ada di Timur Tengah atau lainnya.
Tidak ada sesiapapun di antara kita yang cuba bertanya tentang asal usul imsak ini, apatah lagi untuk mempersoalkannya. Inilah satu sikap tidak baik yang ada pada masyarakat kita iaitu menurut saja apa yang diperkenalkan tanpa usul periksa.
Yang menghairankan ialah institusi-institusi agama di negara kita juga seolah-olah mengesahkannya, justeru ia disebarkan melalui media massa, risalah-risalah, poster-poster, iklan-iklan dan sebagainya dengan begitu meluas sekali. Semuanya menyatakan “waktu berbuka puasa dan imsak atau imsakiah”.
Imsak dalam istilah (makna sebenar) bermaksud, menahan diri daripada makan, minum, jimak dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa. Inilah juga imsak yang difahami oleh masyarakat umum daripada waktu imsak yang disiarkan itu.
Tetapi ada juga setengah-setengah kalangan yang terus makan walaupun selepas waktu imsak itu. Tentu pihak lain memandangnya dengan pandangan yang serong dan mungkin tidak sah puasanya dan orang yang melakukan perbuatan itu sendiripun berada dalam keadaan serba salah.
Dari itu, pihak kami berasa bertanggungjawab membincangkan isu ini secara ilmiah berpandukan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah di samping kitab-kitab ulamak yang muktabar dengan harapan umat Islam amnya dan institusi-institusi agama di negara ini akan menilai semula ketetapan imsak sebagaimana yang diamalkan selama ini.
Pertama, Al-Quran dengan jelas mengatakan firman Allah:
“Makan dan minumlah kamu sehingga nyata benang putih (fajar sadiq- permulaan waktu subuh) daripada benang hitam (penghujung waktu malam) iaitu fajar.” (Al-Baqarah: 187)
Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada sebarang imsak sebelum masuknya waktu subuh malah Allah menganjurkan supaya kita makan dan minum “hingga” atau “sampai” masuk waktu subuh. Perintah disini mengikut ulamak usul bukan memberi makna wajib walaubagaimanapun paling kurang ia memberi makna harus.
Kedua, hadis sahih jelas menunjukkannya di mana Nabi s.a.w. bersabda,
“Janganlah menahan kamu dari makan dan minum oleh azannya Bilal, tetapi terus makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azannya (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Para ulamak sepakat mengatakan bahawa Bilal melaungkan azan sebelum masuknya waktu subuh dengan tujuan mengejutkan orang yang tidur supaya bangun bersahur dan Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan apabila masuknya waktu subuh.
Di sini tidak disebutkan tentang imsak atau menahan diri daripada makan minum dan sebagainya sebelum masuknya waktu subuh malah ia menganjurkan supaya makan sampai akhir waktu iaitu masuknya waktu subuh.
Ketiga, dalam hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang mafhumnya
“Umat ini akan sentiasa baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur” (Riwayat Imam Ahmad).
Hadis ini juga menerangkan kedua-dua ayat Al-Quran dan Hadis yang tersebut di atas yang bermaksud: Makan dan minum dan sebagainya hingga masuk waktu subuh. Selagi umat ini melakukan demikian mereka berada dalam kebaikan sebaliknya bila mereka meninggalkan amalan-amalan seperti ini mereka tidak lagi berada dalam kebaikan.
Keempat, kita telah meneliti sekurang-kurangnya 30 buah kitab muktabar dalam Mazhab Syafie antaranya Al-Umm, Majmuk Syarah Muhazzab, Al-Iqna’ Al-Mahalli, Hasyiah Al-Bajuri, As-Syarqawi , Bahrul-Mazi, Kasyful Litham dan lain-lain lagi selain daripada kitab-kitab muktabar dalam mazhab-mazhab yang lain tetapi tidak juga kita temui adanya ketetapan imsak sebelum masuknya waktu subuh sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Hairan! Kalau begitu dari manakah puncanya ketetapan imsak ini, dan siapakah orang yang mula-mula memperkenalkannya? Mungkin orang yang menyokong ketetapan imsak ini berhujjah dengan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bermaksud,
"Kami bersahur bersama Nabi s.a.w. kemudian kami bangun pergi sembahyang, perawi bertanya:” Berapakah jarak diantara bersahur kamu dengan sembahyang? Zaid menjawab: lebih kurang lima puluh ayat” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ini bermakna (kata mereka) bersahur itu sudah selesai sebelum masuk waktu subuh selama lebih kurang 50 ayat (jika dianggarkan tempohnya lebih kurang 10 minit.) Inilah punca imsak,” kata mereka.
Tetapi pemahaman yang seperti ini tidak benar kerana;
1. Tidak ada seorangpun perawi hadis yang menghuraikan pengertian begitu.
2. Hadis ini ada kemungkinan memberi erti yang lain selain daripada kemungkinan tadi. Ia mungkin memberi erti “tempoh diantara selesai bersahur dengan sembahyang subuh itu adalah lebih kurang 50 ayat.
Ini bermakna setelah selesai bersahur azan dilaungkan selepas itu sesiapa yang hendak mengambil wudhu’ bolehlah mengambil wudhu’ kemudian barulah sembahyang subuh. Tempoh di antara azan, wudhu’, sembahyang sunat subuh dan sembahyang subuh itu sendiri adalah lebih kurang 50 ayat.
Sumber: http://www.darulkautsar.com/pemurniansyariat/imsak.htm
Wednesday, September 20, 2006
al-Qaradhawi - Protes Kenyataan Pope
Al-Qaradhawi mengumumkan hari Jumaat - 'Hari Kemarahan' ke atas tuduhan Pope
Doha, Laman al-Qaradhawi - 18-09-2006
Ulama' antarabangsa, Dr Yusuf al-Qardhawi, Presiden Persekutuan Ulama' Islam, mengesah bahawa permohonan ma'af Pope Benedict VXI diatas tuduhan-tuduhan beliau terhadap Islam dan Rasulullah, Muhammad :saw bukanlah satu permohonan ma'af,akan tetapi merupakan satu cemohan dan tuduhan kepada Islam yang dikatakan silap memahaninya.
al-Qaradhawi yang menolak isu permohonan ma'af didalam program "Shariah dan Penghidupan (al-Syariah wa al-hayah)", rancangan TV satelite al-Jazeera yang di pancarkan pada Ahad malam 17-09-2006, sebagai penjelasan kepada kenyataan Pope Vatican yang membuat tuduhan kepada Islam.
Beliau memerlukan "permohonan ma'af yang sebenarnya" dikeluarkan oleh Pope dalam menyertai dialog Kristian-Islam. al-Qaradhawi menyeru agar Jumaat ini diadakan Hari "Kemarahan yang Rational" sebagai memprotes kenyataan Pope, dan beliau menambah :
المسلمين في يوم الجمعة القادم، آخر جمعة من شهر شعبان، أن يجعلوه يوم
غضب عاقل، نريد غضبا سلميا غير متهور
"Kita menyeru kepada orang Islam pada Jumaat ini, merupakan Jumaat terakhir di bulan Sya'ban, agar menjadikan Jumaat ini hari Kemarahan yang Rational (Peaceful Anger Day), Kita inginkan Kemarahan yang Aman dan bukannya Ekstrim"
Pope Benedict VXI didalam syarahan umum yang disampaikan rumah musim panasnya di Castel Gandolfo berdekatan Rom, bahawa kenyataannya terhadap Islam telah disalah fahamkan, menyatakan kekesalannya terhadap keganasan dan kemarahan yang dilakukan oleh orang Islam diseluruh dunia.
Akan tetapi al-Qaradhawi telah menyanggahnya dengan berkata : "Apabila perkataannya jelas, kita tidak perlu melihat kepada niatnya". Suatu kenyataan jawab terhadap kenyataan Pope Vatican yang mengatakan bahawa orang Islam telah salah faham terdapat kenyataan Pope, dan ini juga (menurut al-Qaradhawi) merupakan satu penghinaan kepada orang Islam.
Hari kemarahan
al-Qaradhawi mengajak orang Islam agar tidak bertindak ganas kepada gereja-gereja, mengajak kepada demonstrasi secara aman selepas Solat Jumaat ini, sebagaimana yang di kehendaki oleh Duta Arab dan Islam di Vatican, yang menghantar protes bertulis diatas kenyataan Pope di Rom.
Al-Qaradhawi menyatakan rasa kesalnnya diatas tindakan cemuhan dan tuduhan-tuduhan yang tidak dapat di justifikasikan, yang telah menghina lebih dari 1 billion umat Islam, menyeru agar Pope melakukan permohonan ma'af yang telus mengenai isu-isu yang dibangkitkan.
Beliau menegaskan bahawa Islam mewajibkan jihad sebagai mempertahankan diri, dan sesungguhnya bukanlah kemenangan itu dengan pedang, bahkan kemenangan melampai pengunaan pedang, yang di tumpukan semenjak permulaan lagi.
Usaha meredakan kemarahan yang dihadapi dari ulama' Islam disebabkan kenyataan-kenyataan yang menghina, Benedict VXI menjelaskan bahawa petikan (quotation) yang laporkan oleh pemberita dalam ucapannya di University of Regensburg, Jerman, Selasa lalu mengenai Jihad dan Peperangan Suci, bukanlah mengambarkan pandangan pribadinya akan tetapi apa yang terkandung didalam buku Zaman Pertengahan yang telah dibacanya dulu.
Pope telah melafazkan harapannya agar perkataannya dapat melegakan perasaan orang Islam dan menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud apa-apa didalam ucapan yang dilakukan di Jerman dan bahawa "kesimpulan untuk mengajak kepada Dialog yang telus dalam merapatkan dan mewujudkan persefahaman bersama menguasai pemikirannya" .
sumber : http://www.qaradawi .net/site/ topics/article. asp?
cu_no=2&item_ no=4402&versionfiltered= 1&template_ id=116&parent_ id=114
Friday, September 15, 2006
Khas Buat Peminat Ronaldinho...
Sila klik gambar untuk besarkan. Terima kasih.
Sila klik untuk besarkan...
Thursday, September 14, 2006
Friday, September 08, 2006
Puasa Sunat Nisfu Syaban
Sebuah hadith dari Aisyah ra. : -
كان أحب الشهور إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يصومه شعبان ثم يصله برمضان
Ertinya : Sesungguhnya bulan yang paling disukai oleh Rasululllah SAW untuk baginda berpuasa adalah Sya'ban dan kemudian disambungkan kepada Ramadhan" ( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim menyatakan sohih dan dipersteujui oleh az-Zahabi,)
Berkatalah sebahagian Ulama Syafie dan ulama Hanbali :
أن أفضل الصيام بعد شهر رمضان شعبان لمحافظته صلى الله عليه وسلم على صومه أو صوم أكثره ,
Sesungguhnya sebaik-baik bulan selepas Ramadhan adalah sya'ban kerana penjagaan Rasulullah saw terhadap puasa dalamnya atau sebahagian besar darinya ( 'Aunul Ma'bud, Syarah sunan abi daud)
Sebuah lagi hadith dari Aisyah diriwayatkan oleh al-bukhari :-
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم فما رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر إلا رمضان وما رأيته أكثر صياما منه في شعبان
Ertinya : Adalah Rasulullah SAW sentiasa berpuasa sehingga ....maka tidak ku lihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali ramadhan dan tidak kulihat baginda lebih banyak puasa (dalam satu bulan) kecuali dalam bulan sya'ban" (al-Bukhari, no 1833)
Imam Ibn Hajar berkata nabi paling banyak berpuasa sunat adalah dalam bulan sya'ban berbanding bulan lain.
Nabi SAW juga bersabda :
وعن أسامة بن زيد رضي الله عنهما قال : قلت يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم من شعبان ، فقال : " ذاك شهر تغفل الناس فيه عنه ، بين رجب ورمضان ، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين ، وأحب أن يرفع عملي وأنا صائم " رواه النسائي ، أنظر صحيح الترغيب والترهيب ص 425
Ertinya : Dari Usamah berkata : ya Rasulullah , tidak aku lihat engkau berpuasa sebagaimana engkau berpuasa dalam bulan Sya'ban. Nabi Menjawab :
Itulah bulan ( SYa'ban) yang kerap dilalaikan oleh manusia, iaitu bulan di antara rejab dan ramadhan, iaitu bulan dimana diangkat amalan manusia kepada Tuhan sekalian alam, dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa" (Riwayat AN-Nasaie : Sohih)
Kesimpulan : Tiada pengkhususan utk puasa pada nisfu sya'aban... tapi apa yang ada dan sunnah serta tepat adalah berpuasa sebanyak mungkin dalam bulan sya'abn pada mana-mana harinya, tanpa terikat dgn 'nisfu' atau 'quater' atau hujung dan sebagainya.
permasalahan tentang ibadat-ibadat khusus yang di lakukan pada malam nisfu sya'ban perlu dirujuk pada penjelasan dalam fatwa Ibn Baz