Oleh: DR. SIDEK BABA
ISU Islam sering menjadi isu yang kontroversial. Sebahagian orang-orang Barat merasa fobia atau takut kepada Islam. Islam diberikan pelbagai label. Ada yang menghubungkan Islam dengan pengganas, pelampau, fundamentalis dan agama yang jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.
Tidak kurang juga di kalangan orang-orang Islam sendiri berpendapat terlalu Islam umat tidak akan maju.
Para remaja harus memahami isu-isu berbangkit dengan ilmu dan kebijaksanaan. Tanpa pemahaman yang telus, remaja bakal terheret sama untuk membuat tanggapan bahawa terdapat sesuatu yang negatif pada Islam.
Remaja harus dapat membezakan Islam sebagai agama dengan ajaran yang mendidik manusia menjadi baik dan berilmu dan berperanan mensejahterakan umat manusia. Remaja juga harus memahami bahawa penganut Islam mempunyai berbagai orientasi, tahap keilmuan dan pendedahan terhadap sejarah dan tamadun Islam menyebabkan kefahaman dan penghayatan Islam menjadi berbeza.
Fobia Barat terhadap Islam datang dari rejim Barat yang memerintah dan mempunyai kepentingan tertentu. Semacam ada dendam Salibiyyah terhadap Islam atau tekad zionis untuk melaksanakan protokolnya.
Al-Quran juga memperingatkan kita mengenai strategi musuh-musuh Islam yang sentiasa merancang untuk menghancurkan Islam sama ada ajaran mahupun imej umatnya. Strategi mereka memperkasa program-program media cetak dan letronik dengan budaya popular Barat merupakan salah satu strategi untuk menghancurkan akhlak dan pemikiran generasi muda.
Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa seluruh tipu daya mereka akan di atasi dengan syarat umat Islam kembali menghayati Islam dalam erti kata yang sebenar.
Isu tentang pengganas, lebih merupakan label politik dan ketenteraan. Islam adalah agama sejahtera dan damai. Bila orang-orang Palestin dijajah buminya dan dihalau sebagai pelarian, sudah tentu wujud tentangan kerana mereka ada hak untuk hidup di negaranya sendiri. Orang-orang Palestin juga ada maruah dan perasaan. Apabila makna keadilan tidak lagi ada, hal asasi dinafikan, pencerobohan terus berlaku, penentangan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
Begitu juga isu mengenai pelampau mempunyai akar sebab yang hampir serupa. Telah sekian lama negara-negara umat Islam dijajah, hak mereka dinafikan dan faham sekular dan liberal dipaksakan kepada mereka, menyebabkan wujudnya aliran dan kefahaman yang dianggap tidak selari dengan kehendak proses kemodenan yang menganggap sesuatu yang bersifat tradisi itu melampau.
Hal yang sama juga dihubungkan dengan isu fundamentalisme. Apabila Barat mengambil pendekatan anti agama dan anti Tuhan dalam sistem berilmu dan pemerintahan, sebarang aliran yang mendukung prinsip dan nilai agama yang tulen dianggap sebagai memutar jarum jam ke belakang dan ia dianggap sebagai kembali semula kepada fundamental atau perkara-perkara yang asas.
Adalah sesuatu yang logikal apabila umat Islam khususnya generasi muda ingin memurnikan pemahaman dan penghayatan Islamnya maka sudah tentu asas-asas yang fundamental menjadi sumber amalan mereka. Kerajinan mereka melakukan solat, kesediaan menutup aurat, bergaul dalam batasan yang dibenarkan oleh syarak, tidak terlibat dengan maksiat, benci arak dan pergaulan yang lepas bebas adalah perkara-perkara fundamental dalam ajaran Islam.
Lebih fundamental lagi ialah Islam mengajar tentang makna keadilan, amanah, kebijaksanaan, kesederhanaan, kejujuran , keikhlasan dan ketelusan supaya dalam hubungan sesama manusia ia menjadikan pedoman, prinsip dan amalan.
Mengapa timbul tanggapan negatif yang mengatakan bahawa menjadi terlalu Islam menyebabkan umat Islam tidak maju sedangkan menjadi umat Islam yang berilmu dan baik adalah penyumbang kepada kemajuan Islam itu sendiri. Ia tidak saja menyumbang kepada orang-orang Islam tetapi berfaedah kepada yang Bukan Islam.
Tentu ada sebab-sebab tersendiri mengapa puncak kemajuan Islam di Baghdad dan Andalusia suatu ketika dulu menjadi sumber rujukan dan ambilan ilmuan Barat untuk dijadikan sumber membangunkan Barat itu sendiri.
Kalaulah puncak kemajuan sains dan teknologi dalam Islam dianggap menjumudkan manusia dan menghalang faktor kemajuan tidak mungkin kitab-kitab Ibnu Sina seperti Qanun fit Tib diterjemah ke dalam bahasa Latin dan Ibrani dan menjadi sumber rujukan di Eropah dalam bidang ilmu perubatan berabad-abad lamanya.
Contoh yang terbaik bagi remaja ialah bagaimana Malaysia melaksanakan tekad memperkasa Islam menerusi membangunkan bank dan takaful Islam mengikut kaedah hukum syarak dan membangunkan universiti Islam antarabangsa bagi pelajar-pelajar Malaysia dan pelajar di seratus negara di seluruh dunia.
Menerusi sistem perbankan dan insurans Islam asas sistem kewangan Islam sedang terbina dengan baik, memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi, memberi pilihan kepada umat mengenai sistem tanpa riba dan berjaya meyakini orang Bukan Islam bahawa faktor syarak memberikan asas kestabilan dan kemajuan dalam ekonomi.
Hal yang sama berlaku terhadap kemajuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Umpamanya pelajar-pelajar antarabangsa yang sebahagian besar mereka tidak mahir bahasa Inggeris dan bahasa Arab akhirnya menjadi mahir menguasai bahasa tersebut. Bahasa Inggeris penting untuk menguasai ilmu pengetahuan berbanding dan bahasa Arab juga penting untuk memahami al-Quran dan Islam.
Pada masa yang sama UIAM menawarkan dua bidang ilmu dan pendidikan yang berjalan serentak. Pelajar yang mengambil bidang undang-undang awam diwajibkan mengambil bidang syariah dan sebaliknya. Pelajar-pelajar ekonomi dan pengurusan diajar juga tentang ilmu mengenai sistem kewangan dan perbankan Islam.
Hal yang sama juga berlaku di kuliah-kuliah yang lain menghubungkan ilmu dan tamadun Islam dalam pengajaran dan pembelajaran. Bayangkan pendebat-pendebat UIAM sering muncul sebagai pendebat terbaik di dunia, adalah gambaran bahawa mengamalkan prinsip dan ajaran Islam dalam sistem ilmu dan ekonomi negara tidak menjadikan umatnya jumud atau tidak maju.
Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam para prinsipnya adalah agama damai. Konsep salama pada Islam itu membawa maksud sejahtera. Islam adalah agama dakwah dan tarbiah, mengajak manusia ke jalan yang makruf dan sentiasa bersedia mendidik manusia lain menjadi baik dan kembali kepada fitrah.
Ada ketikanya terdapat kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej yang negatif. Ia tidaklah membayangkan ajaran Islam menganjurkan mereka berbuat begitu. Ada latarbelakang yang mesti difahami mengapa ia berlaku.
Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana ia adalah fitrah kehidupan. Tetapi kemajuan yang dianjurkan oleh Islam semestinya mengukuhkan lagi asas akidah, amalan ibadah dalam erti kata yang luas, landasan syarak yang harus dijadikan pedoman dan ikutan dan kekuatan akhlak yang menjadi rujukan dan teladan.
Asas ini bila dikembangkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan ia bakal melahirkan generasi yang faham dan mampu memberikan perimbangan antara idealisme yang dibina dengan realiti yang menuntut cabaran strategik. Inilah cabaran remaja dan umat Islam sebenarnya.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.
Thursday, March 15, 2007
Terlalu Islam umat tidak akan maju?
Tuesday, March 06, 2007
Kepemimpinan Adil, Bersih Makmurkan Alam Sejagat
Oleh Mohd Shukri Hanapi
KEPEMIMPINAN adalah suatu peranan sosial yang dimainkan oleh seorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pimpinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.
Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menerangkan setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.
Dalam skop lebih luas, kita boleh melihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Quran yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafat Allah fi al-Ardh).
Allah berfirman bermaksud “Sesungguhnya Kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan berasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,” – (Q:33:72).
Ayat di atas menggambarkan betapa tugas kepemimpinan sebagai khalifah Allah di Bumi ini adalah satu amanah besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan bukit bukau.
Meskipun dalam beberapa ayat lain, Allah menyifatkan manusia itu sebagai makhluk yang istimewa, tetapi dalam ayat ini Allah menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil. Sifat ini disebabkan mereka sanggup memikul amanah yang sangat berat dan paling mencabar itu.
Atas dasar inilah, barangkali apabila Tuhan memberitahu bahawa Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, malaikat terus mempersoalkannya.
Allah berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata, mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, pada hal kami yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” – (Q:2:30).
Maksudnya, malaikat sangat ragu mengenai kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah di Bumi ini kerana mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Allah juga tidak menafikan kebenaran rasa ragu malaikat itu. Cuma Allah menjelaskan ada tujuan lain lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini.
Dalam konteks ini, kepemimpinan amanah yang sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun, ia adalah suatu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan Bumi.
Amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Istilah lain memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis mengenai orang munafik. Apabila diamanahkan dia khianat.
Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis di atas iaitu hadis Rasulullah yang bermaksud “Kamu semua pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang di bawah pimpinannya”.
Layaknya, kepemimpinan itu ialah satu beban yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya.
Jadi mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya, al-Abbas supaya dilantik menjadi gabenor di suatu wilayah. Malah, Baginda pernah berkata kepada sahabat rapat Baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah suatu amanah. Pada Hari Kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.
Apa yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasaskan hawa nafsu.
Bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting pandangan Islam. Kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop yang lebih kecil, yang boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr.
Monday, March 05, 2007
Tajdid Iman: Rahmat menjadi insan disayangi
Bersama Dr Juanda Jaya
Pendamping setia beri kekuatan bina perhubungan bahagia, ikhlas
SIAPAKAH diri kita? Apakah kedudukan kita penting di sisi orang yang tersayang? Seorang suami sentiasa berada di sisi isteri, menemaninya mewujudkan impian membina rumah tangga sakinah, mawaddah dan warahmah.
Seorang ibu menjadi sahabat paling setia bagi anaknya dan bersedia membahagi hatinya untuk dikorbankan demi kebahagiaan mereka. Kawan karib selalu mendampingi dalam susah ataupun senang kerana kekuatan persahabatan yang dijalin bersama, tiada hasrat berkhianat untuk kepentingan sendiri.
Begitulah kehidupan anak Adam yang diciptakan untuk saling kenal mengenal, isi mengisi, dokong mendokong kerana mengharapkan kebahagiaan dalam perhubungan mereka.
Inilah kehidupan yang dibentangkan di hadapan manusia, mereka tidak terlepas daripada ‘hubungan kemanusiaan’ antara sesama. Al-Quran menggariskan perjalanan mereka dengan lengkap supaya sentiasa beringat bahawa hidup ini perlu kepada pendamping di sisi.
Menjadi seseorang yang mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain adalah amalan dituntut dalam syariat Islam. Ia amalan paling berat timbangannya di akhirat nanti.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang paling berat dalam timbangan orang beriman pada hari kiamat selain daripada akhlak yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan al-Bukhari)
Apabila seseorang kembali ke rahmatullah, tiada apapun yang akan dikenang kecuali dua perkara; adakah dia hamba Allah yang baik pergaulannya ketika hidupnya atau dia adalah seorang yang jahat perangainya.
Kesan peninggalannya itu akan dinilai oleh manusia yang mengenalinya. Kita pernah berkenalan dengan ramai orang, tetapi adakah sesuatu yang istimewa dapat kita rasa daripada orang yang hadir dalam hidup kita?
Kebaikannya, sifatnya dan akhlaknya yang boleh membuat air mata mengalir apabila mengingati keistimewaannya itu. Insan yang pernah hadir memberi kebahagiaan dalam hidup, kehilangannya membuat hati menjadi rindu dan semakin sayang. Betapa beruntungnya menjadi orang yang dikasihi dan sentiasa dikenang kebaikan dan jasanya.
Anas bin Malik berkata: Telah datang jenazah yang dihantar melewati sahabat Rasulullah SAW, kemudian mereka memujinya dengan kebaikan lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib! Tidak lama kemudian datang lagi iringan jenazah lain dan mereka mengatakan keburukannya. Nabi SAW bersabda: “Wajib! Umar bin Khattab bertanya: “Apa yang wajib wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Jenazah yang kalian puji dengan kebaikan maka dia wajib masuk syurga. Dan yang kalian sebut kejahatannya maka dia wajib masuk neraka, kalian adalah saksi-saksi Allah di muka bumi.” (Muttafaqun Alaih)
Manusia hidup mesti merancang supaya kehidupannya berkualiti dan bahagia hingga ke akhir hayat. Namun, jarang yang merancang untuk mati sebagai insan yang disayangi dan dihormati.
Bukan bermaksud gila kehormatan dan pujian orang lain, tetapi merancang menjadi hamba Allah yang disayangi ketika mati. Rasa sayang itu bukan dapat direka-reka, ia lahir daripada hati yang paling suci pada diri manusia.
Kita tidak dapat menolak jika orang sayang kepada diri kita dan kita tidak dapat memaksa orang untuk menyayangi kita. Ia adalah satu perasaan di luar kuasa dan kawalan manusia.
Begitulah ‘rahmat’ istimewa terserlah dalam keperibadian seorang manusia. Hanya Allah SWT yang melimpahkan rahmat kepada diri hamba-Nya sehingga mata sesiapapun yang memandang pasti akan terkenang keunikan kita tanpa paksaan.
Kekuatan kita berada pada orang yang mendampingi kita. Kehadiran mereka memberi satu dimensi positif yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan kita. Di sisi Adam berdiri Hawa yang setia, di sisi Rasulullah SAW hadir sahabatnya yang agung.
Di sisi raja yang mulia tegak bersama menteri yang amanah. Di sisi seorang suami ada isteri yang mencintai, menghormati dan memberi sokongan tidak berbelah bagi. Kita perlukan mereka untuk menjalani hidup ini dengan gembira.
Tiada yang paling berharga di dunia melainkan pendamping setia, sahabat, jiran dan sanak saudara yang mahu dicintai dan ikhlas mencintai kita. Tetapi perlu diingat bahawa sesiapa yang tidak mencintai mustahil akan dicintai.
INTI PATI
- Menjadi seseorang yang mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain adalah amalan dituntut syariat Islam dan amalan paling berat timbangannya di akhirat.
- Kebaikan, sifat dan akhlak pendamping setia boleh membuat air mata mengalir apabila mengingati keistimewaan kebaikan dan jasanya.
- Manusia hidup mesti merancang supaya kehidupannya berkualiti dan bahagia hingga ke akhir hayat untuk menjadi insan disayangi dan dihormati.
- Rahmat istimewa terserlah dalam keperibadian seorang manusia. Kekuatan kita berada pada orang yang mendampingi kita. Kehadiran mereka memberi satu dimensi positif yang mempengaruhi pemikiran dan perasaan kita.
- Tiada paling berharga di dunia melainkan pendamping setia yang mahu dicintai dan ikhlas mencintai kita.
