Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar.
Sebab itulah, insan-insan agung seperti Abu Bakr dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut: “Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku”.
Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah.
Lalu kita dengar manusia bongkak berbicara: “awak siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz” atau “..saya ini tok guru” atau “..saya ini menteri”.