Menurut Syaikh al-`Utsaimin secara umumnya terdapat empat pandangan tentang hukum membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang.
Pertama : Bacaan Fatihat al-Kitab itu tidak diwajibkan secara mutlak kepada imam dan makmum, baik dalam sembahyang sendirian (munfarid) atau dalam sembahyang berjemaah yang siriyah mahupun jahriyah .
Bagi mereka yang diwajibkan hanyalah membaca apa yang mudah dari al-Qur'an. Dalil yang mereka pakai adalah Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). - al-Muzzammil (73) : 20
Dan Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam :
Bacalah sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur'an. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih Bukhari, Kitab al-Azan, hadis no. 757
Kedua : Bacaan al-Fatihah adalah salah satu dari rukun sembahyang yang wajib dibaca dalam semua keadaan oleh imam dan makmun dalam sembahyang berjemaah siriyah dan jahriyah, atas makmum yang masbuq atau orang yang yang menjadi makmum dari awal sembahyang lagi dan kepada mereka yang sembahyang sendirian (munfarid).
Ketiga : Bacaan al-Fatihah adalah rukun dan wajib dibaca bagi imam dalam sembahyang berjema'ah dan mereka yang sembahyang secara munfarid. Tetapi ianya tidak diwajibkan secara mutlak kepada makmum dalam sembayang berjemaah siriyah dan jahriyah.
Keempat : Bacaan al-Fatihah adalah rukun sembahyang dan wajib dibaca imam, dan mereka yang bersembahyang munfarid, dan juga wajib dibaca bagi makmum dalam sembahyang berjemaah siriyah namun tidak wajib dibaca dalam sembahyang berjemaah jahriyah.
Pendapat pertama ini dapat dibantah dengan wujudnya hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang menujukkan kefardhuan membaca al-Fatihah seperti yang telah saya paparkan di atas. Tentang tafsiran mudah dalam hadis di atas Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:
Sabda baginda shalallahu 'alaihi wasallam "…sesuatu yang mudah…" difahami bahawa ianya adalah al-Fatihah, kerana surah ini mudah bagi seseorang. Atau yang dimaksudkan adalah surah yang dibaca setelah membaca al-Fatihah, atau khusus bagi mereka yang tidak mampu membaca al-Fatihah.
Berkata al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah: - Al-Hafidz Ibnu Hajar Asqalani, Fathul Baari, jilid 4, ms. 479.
… bahawa yang dimaksudkan dengan "… sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur'an." Adalah surah al-Fatihah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud dari Rifa'ah bin Rafi' dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:
Apabila engkau telah berdiri dan menghadap kiblat maka takbirlah, kemudian bacalah Umm al-Qur'an dan apa-apa yang Allah kehendaki untuk kau baca. Apabila engkau rukuk maka letakkanlah kedua telapak tanganmu di atas kedua lututmu. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis nombor 730.
Bagi Syaikh al-'Utsaimin rahimahullah:
"…pendapat yang terkuat padaku adalah : bahawa bacaan al-Fatihah adalah rukun yang harus dikerjakan imam dan makmum serta munfarid dalam sembahyang siriyah dan jahriyah, kecuali jika masbuq dan ia mendapatkan imam sedang rukuk maka ia tidak wajib membaca al-Fatihah." - Syaikh Muhammad bin Shalih al-`Utsaimin, Majmu' Fatawa : Bab Ibadah, ms. 360.
Pendapat Syaikh al-`Utsaimin ini lebih menghampiri amalan majoriti umat Islam di Malaysia.
Dalil yang digunakan oleh Syaikh al-`Utsaimin rahimahullah adalah hadis-hadis yang menetapkan kefardhuan bacaan al-Fatihah seperti yang telah penulis paparkan di atas. Sedangkan dalil khusus yang dipergunakan untuk menguatkan pendapat bahawa makmum dalam sembahyang berjemaah jahriyah juga wajib membaca surah al-Fatihah adalah :
Diriwayatkan dari Ubadah bin Shamit radhiallahu' anhu bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam selesai mengerjakan sembahyang Subuh dan berkata pada sahabatnya: "Boleh jadi kalian membaca sesuatu di belakang imam kalian?" Mereka menjawab: "Betul Ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Janganlah hal itu kalian kerjakan kecuali membaca
Umm al-Qur'an, kerana tidak ada (tidak sah) sembahyang bagi yang tidak membacanya." - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Shalah, hadis no. 286.
Menurut Syaikh al-`Utsaimin rahimahullah:
Pendapat inilah yang sahih menurutku (Syaikh al-`Utsaimin) , seandainya bukan kerana hadis Ubadah bin Shamit radhiallahu' anhu...tentulah pendapat bahawa membaca al-Fatihah dalam sembahyang jahriyah tidak wajib bagi makmum adalah pendapat yang rajih (lebih tepat) kerana orang yang mendengar itu seperti orang yang membaca dalam memperolehi pahala. - Muhammad bin Shalih al-`Utsaimin, Majmu' Fatawa : Bab Ibadah, ms. 361.
Bagi mereka yang berpendapat makmum tidak wajib membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang berjemaah yang jahriyah, mereka berdalilkan
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) , supaya kamu beroleh rahmat. - al-A'raaf (7) : 204
Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah: "Kewajipan membaca bagi makmum jadi gugur pada sembahyang-sembahya ng (berjema'ah – pen) jahriyah dan wajib dia mendengarkan bacaan Imam, kerana Firman Allah Ta'ala (al-A'raaf (7) : 204)…" - Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 342
Syaikh al-Albani rahimahullah juga menyatakan ayat ini adalah yang paling pokok dalam hal ini. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Abani, Fatwa-Fatwa Albani, (edisi Terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta, 2002) ms. 85.
Dalil-dalil lain yang menunjukkan makmum tidak perlu membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang jahriyah adalah:
Dari Abu Hurairah, ia berkata: "Telah bersabda Rasululllah shalallahu 'alaihi wasallam , "Di jadikan imam itu hanya untuk diikuti. Oleh kerana itu apabila imam takbir, takbirlah kalian, dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu) …" - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalan Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, hadis no. 848.
Dari Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam sesudah selesai mendirikan sembahyang yang baginda keraskan bacaannya (jahriyah) di dalam sembahyang itu, baginda bertanya: "Apakah ada seseorang di antara kamu yang membaca bersamaku tadi?" Maka seorang laki-laki menjawab, "Ada ya Rasulullah!" Kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya aku berkata: Mengapakah (bacaan)ku dilawan dengan al-Qur'an juga?" Berkata Abu Hurairah: "Kemudian berhentilah orang-orang dari membaca bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pada sembahyang-sembahyang yang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam keraskan bacaannya, ketika mereka sudah mendengar (larangan) yang demikian itu dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam" - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Shalah, hadis no. 287. Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shalah, hadis no. 395.
Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah berkenaan hadis ini, "Rasulullah melarang makmum membaca semua bacaan al-Qur'an dalam sembahyang jahriyah." Disebabkan hadis ini diucapkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam terkemudian berbanding hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Shamit radhiallahu' anhu, maka pengecualian terhadap bacaan Umm al-Kitab bagi makmum dalam sembahyang jahriyah telah dimansuhkan. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 121
Berkata Abu Bakar Ibn al-Arabi rahimahullah:
Yang kuat menurut kita ialah diwajibkan membaca (al-Fatihah) pada sembahyang sirriyah, kerana umumnya hadis-hadis (yang menunjukkan kefardhuan membaca al-Fatihah seperti yang telah saya paparkan di atas). Mengenai sembahyang jahriyah, maka tidak ada jalan untuk membacanya di sana kerana itu merupakan amalan penduduk Madinah. Kedua, kerana itu adalah hukum al-Qur'an sebagaimana Firman-Nya :
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) , supaya kamu beroleh rahmat. - al-A'raaf (7) : 204
Dan ia disokong oleh sunnah dengan dua buah hadis : salah satu di antaranya ialah hadis Imran bin Hussain: "Sungguh, saya mengetahui beberapa orang di antara mu telah mangacaukan saya!"
Kedua ialah ucapan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam: "dan apabila imam membaca, maka hendaklah kalian diam mendengarkan (bacaan imam itu)." - Dinukil daripada Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 342-343.
Pendapat makmum tidak membaca al-Fatihah dalam sembahyang jahriyah ini juga adalah menjadi pilihan Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Malik bin Anas, al-Zuhri, Ibnul Mubarak, Ishak dan dikuatkan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah.
Ini jelas merupakan sebuah masalah khilafiyah yang sepatutnya masing-masing berlapang dada dan jangan memperlecehkan cara sembahyang orang lain kerana masing-masing memiliki dalil yang datangnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam secara sahih.
WAllahu'alam