Thursday, July 13, 2006

CARILAH KEBAHAGIAAN

CARILAH KEBAHAGIAAN. NAMUN INGATLAH IA ADALAH PEMBERIAN. DEKATILAH PEMBERINYA.

Kebahagiaan ialah suatu pemberian daripada Allah. Kemuncak kepada kebahagiaan ialah memasuki syurga dan syurga juga merupakan pemberian Allah. Mengapa syurga ialah kemuncak kebahagiaan? Kerana di sana Allah hilangkan penderitaan dan di gantikannya dengan keseronokan dan kenikmatan hidup utk selama-lamanya.

Dunia tidaklah seperti itu. Walau bagaimanapun kita masih mampu mengecapinya walaupun tidaklah secara hakiki. Cara yg terbaik utk mengecapi kebahagiaan ialah dengan mendekati Pemberinya, iaitu Allah. Sebab itu dalam surah ar-Ra'd Allah berfirman, "Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah hatimu akan tenang." Keluarga juga boleh mendatangkan kebahagiaan jika ahli keluarga itu ialah dari kalangan 'qurrata a'yun' iaitu 'mereka yg penyejuk hati disebabkan ibadah kepada Allah.' Semuanya berbalik kepada Allah.

Justeru jika seseorang bertanya kepada saya, "bagaimanakah cara hendak mencapai kebahagiaan?", saya (yg kerdil ini) akan menjawab, "dengan mengetuk pintu rahmat Allah tanpa jemu dan bosan."
"Bagaimanakah mengetuk pintu rahmat itu?"
"Dengan melumurkan hati menggunakan kasturi zikrullah, melaksanakan kewajipan, menjauhi larangan serta sentiasa berharap kepadaNya."
"Apakah tanda-tanda pintu itu telah terbuka?"
"Tanda-tandanya terdapat dalam al-Quran iaitu, apabila disebut nama Allah gementar syahdu hati itu, apabila dibaca ayat-ayat Allah iman di hati akan bertambah dan apabila melakukan aktiviti kehidupan tawakal kepada Allah akan menjadi landasan."

Ketika itulah percikan kebahagiaan telah dapat kita kecapi. Semoga Allah mempermudahkan.