Saturday, July 29, 2006

Tajdid Fiqh : Realiti dan Perlaksanaannya

al-Fadhil Dr Yusuf al-Qaradhawi mengesahkan bahawa budaya Islam tidak bosan dengan pembaharuan. Mereka mempercayainya didalam diri mereka dan menerimanya dengan tangan terbuka samada ia merupakan pembaharuan agama atau pembaharuan kehidupan. Beliau menganggap bahawa tiada halangan melakukan tajdid fiqh dari mereka-mereka yang mahir. Tambahan Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai soalan terhadap kebenaran seruan-seruan yang mengajak kepada pembaharuan fiqh, beliau berkata : Kita menerima tajdid yang benar, dan kita menolak keritikan yang memusnahkan dan pembaziran keatas khazanah fiqh yang menjadi kebanggaan kita semua, kita bertegas terhadap pembid'ah samada dimasa lalu dan kini.

Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan Salam keatas Rasulullah, wa ba'du :

Realilti budaya kita ialah tidak bosan dengan pembaharuan, malahan percaya kepadanya, menerima dengan tangan terbuka samada ia berbentuk pembaharuan didalam agama atau pembaharuan didalam penghidupan.

Makna keinginan kepada pembaharuan - Bagaimana pula kita tidak percaya kepada pembaharuan sedangkan Rasulullah :saw bersabda dengan jelas kepada umatnya :

إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
"Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat satu ketua pada pada setiap 100 tahun bagi memperbaharui agamanya"

Bukanlah dengan berkata : Bagaimana boleh memperbaharui agama sedangkan ia adalah nas yang muhkamat, ayat-ayat yang dijunjung dan hadith-hadith yang di muliakan? Sesungguhnya pembaharuan (tajdid) agama bermakna memperbaharui Iman dengannya, memperbaharui kefahaman mengenainya, dan mahir (faqih) didalamnya. Ia juga tajdid/pembaharuan didalam iltizam, amalan dan hukumannya, dan pembaharuan didalam cara berdakwah keatasnya.

Sejarah umat kita mengetahui contoh-contoh mujaddid seperti Umar bin Abdul Aziz yang memperbaharui cara berkhalifah, Imam al-Syafie yang meletakkan ilmu Usul al-Fiqh, al-Ghazali yang menghidupkan Allah dengan Ihya Ulumiddin, Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn al-Wazir, Waliullah al-Dahlawi dan sebagainya.

Kita mahukan pembaharuan dan bukan kemusnahan dan pembaziran : pembaharuan sesuatu bukan bermakna membuangnya, dan mewujudkan perkara yang baru, maka ini bukan dari sesuatu perkara yang baru. Pembaharuan sesuatu adalah mengekalkan intipati (essence), tanda-tandanya dan ciri-crinya, akan tetapi ia mengembalikan apa yang telah lusuh, dan ia memperkuatkan dari sudut-sudut atau tepi-tepinya yang telah menjadi lemah, sebagai kalau saya ingin pemperbaharui kecintaan kepada arkiologi atau tempat-tempat peningalan silam, maka hendaklah di 'preserve' / peliharakan, ciri-cirinya, rohnya dan materialnya dengan apa yang boleh. Dimana pembaharuan dilakukan keatas warna bangunannya, memperbaiki jalan masuknya dan mempercantikkan jalan yang menghala kepadanya.

Tajdid didalam agama hendaklah dilakukan dari dalam, menggunakan alat-alat yang dibenarkan oleh syara', yang dilakukan oleh ahli-ahlinya, ulama-ulama', dan tidak memalsu keatas ahli-ahlinya dan tidak boleh memasukkan unsur-unsur yang pelik dan tidak memasukkan dengan paksaan. Kita melihat ramai pada masa kini memasukkan diri mereka didalam agama, dan setiap mereka memperakui bahawa ini adalah pembaharuan agama, Syiekh bagi Islam, dan Imam pada zamannya.

Dikalangan mereka pada masakini yang membaca al-Quran dengan cara bacaan yang baru, dimana mereka telah menolak bacaan umat lalu yang sudah menjangkau empat belas abad lamanya. Mereka telah menolak kesemua khazanah yang ada, mereka telah menghantarnya kepada bakul sampah. Maka mereka bermula dengan kosong, tidak bergantung kepada Hadith Marfu', tidak ada athar dari para sahabat, dan tidak ada qaul sahih dari para tabien, tidak diambil (cited) pandangan dari Imam-Imam didalam bidang bahasa, fiqh dan tafsir. Dia berseorangan pada masa berhujah, dianggap jahil, dia akan membawa apa-apa tafsiran dan pendapat yang merendahkan Allah dari penguasaannya, dan hujah tidak bergantung kepadanya. Yang menghairankan bahawa yang menuduh ini tidak pandai dengan ayat-ayat al-Quran yang sahih, bukan sahaja dia tidak menghafal al-Quran, bahkan dia tidak mengetahui baris depan dan baris atas, tidak mengetahui Faa'il dan Maf'ul.

Mereka yang ingin membuang fiqh keseluruhannya, seperti fiqh sahabat, fiqh tabien, fiqh pengikut imam-imam, atau lain-lain pengikut, maka sesungguhnya kita telah memukulnya ke tengah-tengah dinding. Dengan menggunakan perundangan dan hak asasi manusia, yang tidak dijumpai didalam umat dari kalangan umat-umat yang lain, yang mengiktiraf kelebihan dan nilainya, dan keluasan negara Arab dan bukan Arab, dari Timur dan Barat, maka Seminar Antarabangsa telah mengenakannya didalam undang-undang di Hague dan Paris dan selain darinya.

Jika datang seorang yang tidak pandai membaca lembaran dari kitab Usul Fiqh, contoh al-Risalah karangan al-Syafie, atau al-Burhan karangan Imam al-Haramain, atau al-Mustashghi karangan al-Ghazali, atau al-Mahshul karangan al-Raazi, atau Muwafaqat karangan al-Syathibi, atau kitab fiqh misalnya al-Zakhirah karangan al-Iraqi, atau al-Majmu' karangan al-Nawawi atau al-Mughni karangan Ibn Qudamah, dia berkata kepada kami bahawa kamu buang fiqh ini yang melambatkan kamu dan yang telah beku. Apakah dosa fiqh? Apakah dosa umat? Apakah kerana seorang lelaki yang tidak pandai membaca, tidak memahami dan tidak boleh mengambil munafaat darinya? Apakah dosa fiqh apabila umat tidak pandai mengambil pengajaran dari Khazanah lama? Apakah pengambilan dari ijtihad baru dianggap berubah mengikut masa, tempat dan manusia?

Dan ada juga dari kalangan mereka yang berpaling dari hadith Rasulullah :saw kerana didalam buku-buku itu terdapat hadith-hadith dhaef, hadith palsu, hadith yang tidak ada asalnya, dan dari muhadith yang menutup aqal dari menerima pemindahan ini, dan mereka yang menyokong kejumudan dan ketaqlidan didalam menghadapi ijtihad dan tajdid.

Kesan ini adalah kerana sesungguhnya mereka tidak menyelami budaya kita secara mendalam, dan mereka tidak tahu apa yang membangkitkan umat didalam cara mereka memelihara warisan Nabinya, dan sesungguhnya Allah menyediakan ilmu kenabian yang menafikan distorsi (pencerobohan), dan penyamaran orang-orang salah, dan pentafsiran Jahiliyah.

Kesan buruknya ialah sesungguhnya mereka tidak kenal umat mereka, mereka tidak menjangka jumlahnya, walaupun ia merupakan kumpulan yang bodoh, dan ulama' mereka adalah dari kalangan yang bodoh, yang menyebarkan tuduhan-tuduhan dan ilusi memperdayakan mereka, dan mereka jahil bahawa umat tidak menyetujui kesesatan mereka. Inilah yang al-Quran buktikan, apa yang disokong oleh sunnah dan apa yang sejarah telah mempercayai. Sebagaimana firman Allah swt :-

وَمِمَّنْ خَلَقْنَا أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ
"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka menjalankan keadilan. " [surah al'Araraf : 181]

Ayat ini bekekalan hingga akhir waktu, dan manusianya masih kekal, sebagaimana firman Allah swt :-

فَإِنْ يَكْفُرْ بِهَا هَؤُلَاءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ
"Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya. " [surah al-Baqarah : 89]

Bagi hadith pula, telah diperluaskan hadith-hadith sahih dari beberapa sahabat yang tidak mungkin berpakat didalam riwayat untuk berbohong keatas Rasulullah :saw. Kesemua hadith-hadith ini di miliki oleh umat kerana sesungguhnya : "Tidak akan datang satu kaum pada mereka yang berdiri diatas kebenaran, tidak akan mudarat mereka yang di cerobohi sehinggalah datang perintah Allah keatas itu".

Dinamakan golongan ini oleh beberapa ulama' sebagai golongan yang menang, maka kumpulan ini mewakili injab keselamatan bagi umat, mempelajari kejahilan, dan kembali pelik, mengatasi mereka yang sesat sehingga datangnya kiamat.

Bagi sejarah pula, maka benarlah kata al-Quran yang Agung dan Sunnah yang Mulia, bahawa masa tidak lekang dari ulama'-ulama' yang menolak bid'ah, dan memerangi kebatilan, sebagaimana kata Ali ra. : "Bumi ini tidak akan lekang dari pelaksana Allah dengan kehendaknya".

sumber : تجديد الفقه .. حقيقته وضوابطه
http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=4322&version=1&template_id=130&parent_id=17

Tuesday, July 25, 2006

Palestine Cukupkah Sekadar Berdiam Diri


Saturday, July 22, 2006

Hadith Palsu Rejab, Sya'ban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan RasulNya. Jika agama boleh direkacipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Kita melihat di akhir-akhir ini perkembangan yang lebih mendukacitakan, dimana adanya individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu kemudiannya muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang Islam di sana-sini. Fonomena ini mendukacitakan kita, akhirnya manusia mengambil agama daripada golongan jahil lalu mereka diselewengkan.

Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah mengikut pengajian Islam membuat kesalahan dalam memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di kalangan yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering membuat kesalahan dalam persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w.

Berbalik kepada persoalan hadith, ramai di kalangan kita yang begitu tidak berdisplin dalam memetik hadith-hadith Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadith. Apa sahaja yang dikatakan hadith terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadith terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka pastinya sahih dan wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka jumpai daripada buku bacaan, yang dikatakan hadith maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:

“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan passport di atas nama sesebuah kerajaan. Ianya sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut. Kedudukan Nabi s.a.w tentunya lebih besar dan agung untuk dubandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadith ini:

“Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku) (rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)

Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:

“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria)

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi agen menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ianya ternyata bercanggaha dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama. Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah yang pasti kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadith. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar):

“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah)>

Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak juga semua pihak yang membaca sesuatu hadith memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Thursday, July 20, 2006

Zikr-Zikr Ma'thur Selepas Solat Fardhu

أستغفر الله x3
اللّهُـمَّ أَنْـتَ السَّلامُ ، وَمِـنْكَ السَّلام ، تَبارَكْتَ يا ذا الجَـلالِ وَالإِكْـرام


Tsauban r.a berkata, adalah Rasulullah s.a.w apabila dia berpaling daripada solatnya, dia membaca istighfar 3 kali dan kemudian membaca 'Allahumma lantas salam..' Berkata Walid, aku bertanya kepada Auzai' r.a, bagaimanakah istighfar itu? Beliau menjawab" 'Astaghfirullah,Astaghfirullah,Astaghfirullah' - Sahih Muslim

لا إلهَ إلاّ اللّهُ وحدَهُ لا شريكَ لهُ، لهُ المُـلْكُ ولهُ الحَمْد، وهوَ على كلّ شَيءٍ قَدير، اللّهُـمَّ لا مانِعَ لِما أَعْطَـيْت، وَلا مُعْطِـيَ لِما مَنَـعْت، وَلا يَنْفَـعُ ذا الجَـدِّ مِنْـكَ الجَـد

Mughirah bin Syu'bah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w, biasanya pada selesai setiap solat fardhu, baginda mengucapkan: - Riwayat Bukhari&Muslim

لا إلهَ إلاّ اللّه, وحدَهُ لا شريكَ لهُ، لهُ الملكُ ولهُ الحَمد، وهوَ على كلّ شيءٍ قدير، لا حَـوْلَ وَلا قـوَّةَ إِلاّ بِاللهِ، لا إلهَ إلاّ اللّـه، وَلا نَعْـبُـدُ إِلاّ إيّـاه, لَهُ النِّعْـمَةُ وَلَهُ الفَضْل وَلَهُ الثَّـناءُ الحَـسَن، لا إلهَ إلاّ اللّهُ مخْلِصـينَ لَـهُ الدِّينَ وَلَوْ كَـرِهَ الكـافِرون

Abdullah ibn Zubair r.a, adalah dia mengucapkan diakhir setiap solat sesudah salam: Lalu berkata lagi Ibn Zubair:"Adalah Rasulullah s.a.w mengucapkan bacaan tahlil tersebut setelah berakhir setiap solatnya" - Sahih Muslim

سبحان الله (33)
والحمد لله (33)
والله أكبر (33)
لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير


Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda;" barangsiapa yang mengucapkan ketika selesai setiap solatnya - Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, dan Allah Akbar 33x sehingga mencukupi jumlahnya 99x; kemudian disempurnakan menjadi 100 dengan bacaan tahlil, maka nescaya diampuni kesalahan-kesalahanNya, walaupun banyaknya seperti buih dipermukaan laut" Sahih Muslim.

بسم الله الرحمن الرحيم{ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ*اللَّهُ الصَّمَدُ*لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ * وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ} بسم الله الرحمن الرحيم {قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ * مِن شَرِّ مَا خَلَقَ *وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ * وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ * وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ } بسم الله الرحمن الرحيم{ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ * مَلِكِ النَّاسِ * إِلَهِ النَّاسِ *مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ * الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ * مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ }

Uqbah bi Amir r.a berkata: "Aku disuruh oleh Rasulullah s.a.w supaya membaca surah-surah al-Mu'awwidzat (al Falaq dan Al Nas) pada tiap-tiap kali selesai mengerjakan solat." Sunan Al Nasai no 1309, di riwayat juga oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmizi,Hakim. Ada yang berpendapat adalah baik disertakan surah al Ikhlas-Syaikh Abdullah Basmeih,lihat mustika hadith vol2, ms191.

اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Sesiapa yang membaca Ayat al-Kursi selepas setiap solat, tiada yang menegahnya memasuki syurga melainkan kerana belum mati lagi." Ibn Al Nasa'iy, ''Amal al Yawm wa al Laylatn no 100. Ibn al Sunni no 121. "Barangsiapa yang membaca Ayat Kursi selepas setiap solat wajib, adalah dia berada dalam pemeliharaan Allah sampai kepada solat berikutnya" - al Thabrani lihat al Targhib wal Tarhib karya al Thabrani (2:435)

"لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد ، يحيي ويميت وهو على كل شئ قدير " عشر مرات بعد صلاة المغرب والصبح

Barangsiapa yang mengucapkan setelah solat subuh 10 kali, maka Allah mencatatkan untuknya 10 kebaikan dan dihapuskan 10 kejahatan, dinaikkan darjatnya 10 tingkatan; dan kalimat-kalimat itu baginya sebanding dgn memerdekakan 2 org hamba sahaya dari Bani Ismail. Jika ia mengucapkannya ketika petang (di dalam riwayat lain, setelah solat maghrib), maka untuknya pula balasan seperti itu; dan kalimat-kalimat itu baginya menjadi penghalang dari (gangguan) syaitan sehingga pagi." Musnah Ahmad 5:415

أللَّهمَّ أَجِرْنِيْ مِنَ النَّارِ

Diriwayatkan daripada Muslim bin Harris, dia berkata, bahawa ayahnya, Muslim at-Tamimi r.a telah diajar oleh Rasulullah s.a.w "Apabila engkau selesai solat Magrib katakanlah 7x, maka seandainya engkau meninggal dunia pada malam itu, nescaya engkau dilindungi daripadanya (api neraka). Dan apabila engkau selesai solat subuh, katakanlah yang seperti itu 7 kali; maka seandainya engkau meninggal dunia pada hari itu, nescaya engkau dilindungi daripadanya(api neraka)." Sunan Abu Daud

اللهم إني أسألك علماً نافعاً ، ورزقاً طيباً ، وعملاً متقبلاً

nota: Dibaca sesudah salam solat subuh; Riwayat Ibn Majah dan lain-lain. Lihat Sahih Ibn
Majah 1:152; Majma' al Zawa'id, 10:111

Rujukan:
1. "Hisnul Muslim", Syeikh Sa'id al Qahtany
2. "Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan dan Dilakukan oleh Rasulullah s.a.w" - Hafiz Firdaus Abdullah
3. "Tafsir Ayat Kursi" - Syeikh Muhammad Salih al Uthaimin

Saturday, July 15, 2006

IRAN: ANTARA AKIDAH SUNNI DAN POLITIK AMERIKA

Sebelum seseorang membicara apa-apa persoalan berkaitan Islam, dia wajib memastikan bahawa manhaj al-fikir atau cara fikir yang dianutinya itu betul. Cara fikir manusia memang berbagai. Namun al-Quran dan al-Sunnah yang thabit memastikan ia bergerak di atas paksi yang betul. Sesuatu yang kelihatan hebat, tidak memberi apa-apa makna jika ia bercanggah dengan kedua sumber ini. Justeru itu Allah menyebut dalam al-Quran Surah al-Baqarah 221:

(maksudnya)
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana mereka (orang-orang kafir itu) mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya)”.

Media Massa Barat menggempar-gemburkan kehebatan Iran. Iran diberi ruang oleh Media Barat dengan begitu luas lebar untuk menunjukkan keberanian dan kehebatannya. Demikianlah Amerika yang mempopularkan watak Iran yang dipilih olehnya di musim ini sebagai wira penentang dalam filem terbarunya. Dia juga yang akan membayar gaji artisnya itu di luar pentas. Dia tidak akan mempopularkan kehebatan HAMAS kerana itu wira yang tidak dipilih. Namun ramai yang tidak mempunyai manhaj yang jelas dan pembacaan sejarah yang meluas akan terpengaruh dengan filem terbaru ini.

Tidaklah terlalu buruk jika seseorang tertipu dengan mainan media Barat yang terbaru ini. Biasa saja untuk setiap orang muslim yang tulen membenci kejahatan kuasa Amerika dan dalam masa yang sama mengharapkan lahirnya wira yang mampu mencabar dan bertarung dengan syaitan besar itu. Siapa sahaja yang muncul waktu ini akan disanjung. Ramai pula yang tidak akan bertanya adakah dia benar-benar wira atau pelakon yang ditaja. Namun yang lebih buruk apabila seseorang mempertikaikan akidahnya yang benar hanya kerana terpengaruh dengan dengan watak dalam filem. Ini seperti seseorang yang memuji agama hindu dan mempertikaikan Islam hanya kerana terpengaruh dengan watak hero hindustan dalam filem hindi. Dek kerana sayangkan watak hero yang dicipta oleh pengarah dan kebencian kepada watak jahat yang dipamirkan. Pada hal pengarah yang samalah yang mencipta kedua-dua watak.

Amat pedih rasanya apabila seorang pemimpin paling tinggi sebuah organisasi politik di Malaysia ini, dalam keghairahannya memuji Iran, dia memuji mazhab Syiah. Tidak memadai setakat itu, dia menyatakan mazhab Syiah lebih istimewa dari mazhab Ahli Sunnah kerana memasukkan jihad sebagai salah satu rukun Islamnya. Aduhai malangnya seorang yang mengakui dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah berucap seperti itu. Saya tidak pasti, apatah al-fadhil kita ini telah melupai hadith dan pengajian Islam dari kitab-kitab sunni yang pernah dilalui dan dibacanya, hanya kerana kisah nuklear Iran yang ditonjolkan oleh Pengarah Amerika.


Sesungguhnya rukun Islam bukan diletakkan secara suka-suka oleh ulama sunni. Ia adalah penyataan Nabi s.a.w., antaranya dalam hadith Jibril yang masyhur. Ulama Ahli Sunnah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat tambahan atas apa yang diputuskan oleh baginda Nabi s.a.w. Apatahlagi rukun Islam bermaksud tanggungjawab fardu ‘ain untuk setiap individu tanpa boleh berpada hanya dengan amalan orang lain. Adapun jihad bukan dalam semua keadaan ia pada status fardu ‘ain. Bahkan dalam sebahagian keadaan ia fardu kifayah. Walaupun ia sangat penting dalam Islam.

Tanpanya umat binasa. Namun ia bukan rukun Islam yang ditanggung oleh setiap individu muslim. Justeru itu al-Quran menyebut dalam Surah al-Taubah 122: (maksudnya) Dan tidaklah (wajar) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”.

Kemudian kita patut bertanya; dalam sejarah Syiah, adakah pernah mereka berjihad menentang kuffar dan mempertahan negara umat Islam?!! Beritahu kita!!! Yang ada hanya penentangan mereka terhadap kerajaan-kerajaan umat Islam yang lampau dan pembiaran kuffar menceroboh negara umat Islam. Paling baru ‘marji’ (tokoh rujuk) mereka al-Sajistani yang memfatwakan boleh berkerjasama dengan Amerika. Dia menjadi insan paling damai dan mendapat naungan kuasa jahat itu di Irak sekarang. Sedangkan dalam masa yang sama ulama-ulama sunni diburu di serata Irak. Sejarah syiah tidak pernah membukti mereka ingin berperang dengan Kristian. Bacalah sejarah!! Taqiyyah mereka lebih tebal dari senjata mereka. Yang ada sekarang ialah penyembelihan kaum sunni di Irak yang dilakukan secara licik oleh pimpinan Syiah yang menguasai politik Irak tajaan Amerika.

Sepanjang sejarah, hanya kaum sunni yang membuka wilayah, kota dan negara dan mengibarkan bendara jihad menentang kuffar. Adapun syiah sejarah mereka ialah memerangi para pemerintah dan mengkhinati beberapa ibu kota umat Islam, termasuk Baghdad pada zaman lampau. Ini bukan penyataan ekstrimis sunni, tetapi realiti yang dicatatkan oleh sejarah. Sejarah ialah guru kita yang mengajar bagaimana kita menilai isu dan suasana. Kehidupan ini hanyalah putaran sejarah, yang ditukar ganti dengan pelakon-pelakon baru di setiap zaman, namun watak dan jalan ceritanya sama.

Bagi saya, sesungguhnya Amerika tidak akan menyerang Iran. Amerika amat kenal antara musuh dan kawan. Syiah bukan musuh Amerika. Bahkan ajaran Syiah adalah senjata yang digunapakai untuk menyerang Islam. Kedudukan Iran yang tidak sunni dan tidak arab itu sentiasa dianggap oleh negara-negara jirannya sebagai ancaman. Perasaan terancam ini amat diperlukan oleh Amerika. Justeru, Iran telah mengistiharkan baru-baru ini, jika dia diserang dia akan menyerang negara-negara Arab yang mempunyai kepentingan Amerika. Kenyataan ini adalah salah satu dari buah catur Amerika.


Tujuannya, agar negara-negara Arab ketakutan. Pemimpin-pemimpin arab yang telah lama menggantikan ketakutan kepada ALLAH dengan ketakutan kehilangan kerusi pemerintahan akan menyeru Amereka datang. Mereka sedar rakyat mereka membenci mereka. Tawakal mereka kepada ALLAH telah lama digantikan dengan tawakal kepada Amerika. Kenyataan Iran itu dicaturkan agar tawakal pemimpin Arab kepada Amerika lebih kuat dan ruang penempatan dan kuasa Amerika di dunia Arab bertambah kukuh. Amerika yang ingin kembali mendapatkan sokongan Arab telah mencaturkan semua ini. Jangan lupa, Amerika jugalah yang menggalakkan Saddam Hussain memasuki Kuwait dan syaitan itu juga yang menawarkan perlindungan untuk Kuwait dan negara-negara Arab yang lain. Mereka berpusu-pusu mengalu-alukan sang syaitan dek kerana takutkan kekuatan Saddam. Akhirnya, Amerika yang mengaut untung percaturan politi CIAnya.

Jangan lupa juga, bahawa kemenangan Khomeini adalah hasil bantuan Amerika pada tahun 1979. Ketua turus tentera Amerika Pakatan Atlantik di Eropah telah berada di Iran sepanjang bulan Januari 1979 tanpa disedari oleh Syah Iran. Dia berperanan memujuk general-general tentera agar tunduk kepada kehendak rakyat. Dalam masa yang sama dia meminta agar Syah Iran pergi bercuti pada 11 Januari 1979. Kesempatan itu untuk memberi ruang kepada rakyat Iran terus menjatuhkan Syah. Akhirnya, Khomeini yang dalam buangan pulang melakukan revolusi. Slogannya “Kemerdekaan, Kebebasan, Keadilan Dan Republik Islam”. Selepas pungutan suara yang membawa undian rakyat sebanyak 98% untuk Khomeini, perlembagaan pun digubal. Khomeini menduduki makam wilayah fakih, iaitu naib kepada Imam Mahdi yang mempunyai kuasa mutlak ke atas perlembagaan. Dia berhak menafsir, mengubah dan menghapuskan undang-undang yang digubal. Kuasa mutlak ini telah menghapuskan slogan keadilan dan kemerdekaan yang dilaungkan. Dia berada di atas undang-undang dan perlembagaan.

Puak sunni adalah minoriti terbesar Iran. Mereka sekitar 25-30%. Semua agama seperti Yahudi, Kristian dan Majusi dilindungi oleh perlembagaan Iran. Malangnya tidak untuk Ahli Sunnah. Unit perisikan khas Khomeini yang tidak boleh dicabar oleh undang-undang telah bertindak sezalim-zalimnya terhadap minoriti sunni. Kata Dr Saif ALLAH Muhammad al-Di’yan: “Golongan yang taksub ini telah membunuh dan menawan para ulama dan pendakwah Ahli Sunnah serta isteri-isteri mereka. Mereka memenjara, mengazab dan mencemarkan maruah. Tiada seorang pun ulama sunni yang selamat. Paling utama yang diazab dan diseksa sehingga mati oleh mereka ialah al-Syeikh Ahmad Mufti Zadah, pemimpin Ahli Sunnah di Iran. Sesiapa yang selamat –jumlahnya amat sedikit- dipenjarakan di rumah masing-masing dan diharamkan menemui orang ramai. Mereka dilarang mengajar dan mentarbiah masyarakat. Tujuannya melaksanakan agenda mensyiahkan kaum sunni dan menghapuskan sunnah sama sekali di Iran.


Kawasan sunni diharamkan mendapat kemudahan yang diperolehi oleh oleh rakyat Iran lain. Adapun sekolah, masjid dan hospital mereka seakan di kurun pertengahan. Semuanya buruk, mundur dan usang. Sementera Tehran, sekalipun terdapat gereja, pusat kegiatan Kristian, kuil Yahudi, Majusi, Bahai, Hindu dan berbagai lagi puak sesat, namun Tehran menjadi satu-satunya ibu kota di dunia ini yang tidak terdapat padanya masjid untuk golongan sunni. Adapun jawatan-jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat atasan ataupun bawahan tiada seorang pun Ahli Sunnah mendudukinya”. (Dr Saif ALLAH Muhammad al-Di’yan, Iran Bain al-Tasyaiyu’ wa al-Libiraliyyah, himpunan karya dalam Mustaqbal al-‘Alam al-Islami, Tahaddiyat fi ‘alam mutaghaiyir 453-454, Majalah al-Bayan).

Sedangkan Ahli Sunnah telah diseksa di zaman Syah Iran kerana terlibat membantu dan menyokong gagasan Revolusi Khomeini. Inilah balasan yang mereka terima. Apa yang hendak dihairankan, Khomeini dalam bukunya Tahrir al-Wasilah menghalalkan harta seorang sunni untuk diambil dan dirampas dalam apa bentuk sekalipun. Sementara dalam buku yang sama beliau mengharamkan solat ke atas jenazah seorang sunni. Banyak lagi jika hendak diungkitkan. Bacalah buku-buku Khomeini sendiri seperti Tahrir al-Wasilah, Kasyf al-Asrar,Hukumah Islamiyyah dan sebagainya.

Ada orang kata kita kena sokong Iran, sebab ketika Rum menentang Parsi, orang Islam menyokong Rum. Al-Quran pun merakamkan hal ini dalam Surah al-Rum. Saya katakan: ya! Benar. Rum benar-benar menentang Parsi. Rum lebih baik daripada Parsi dari segi nilainya. Namun orang Islam akhirnya menumbangkan Rum, seperti mana mereka juga menjatuhkan Parsi. Mereka tidak pernah kata penyelewengan Kristian Rum itu benar. Malangnya, adakah Iran akan benar-benar menentang Amerika?!! Adakah Syiah kurang bahaya?!! Di Malaysia ada yang ambil kesempatan berkempen Syiah di saat ini. Ada yang mengangkat gambar Khomeini, Khomeinei dan Sajastani. Ada yang mencerca sahabah dan memaki Abu Bakar dan ‘Umar. Kisah-kisah dusta kononnya Saidina ‘Umarlah pembunuh Fatimah bint RasulilLah s.a.w mula diedarkan. Ada parti politik yang dijadikan sarang gerakan syiah sejak lama, mula menetaskan telurnya pada musim ini.

Percayalah! Yang hendak dibela oleh Iran –jika diandaikan benar- hanyalah negara syiahnya. Ia tidak mewakili umat sunnah sama sekali. Ia hanya mewakili semangat dan jiwa parsinya semata. Adakah mungkin pimpinan yang mencerca serta mengkafirkan Abu Bakr dan ‘Umar dan menyanggap sesiapa yang mengiktiraf keduanya terkeluar dari agama, akan membela kita para pencinta Abu Bakr dan ‘Umar?!! Ramai mungkin tidak selesa dengan artikel ini. Namun saya terpaksa menulisnya demi menyelamatkan benteng-benteng sunni yang ada di negara ini. Saya bimbang ada yang tersasar. Pada awal kemenangan Revolusi Iran ramai yang tersasar, termasuk Ikhwan Muslimun. Namun akhirnya, ramai yang sedar sehingga Said Hawwa yang pada mulanya menghormati Khomeini dan pernah menziarahinya telah menulis tentang keganjilan akidah dan pendirian Khomeini dalam bukunya al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif.

Ramai yang menentang dan membenci Amerika. Cuba dan Korea juga menentang. Bin Laden juga menentang. Kita juga menentang. Namun, adakah atas nama menentang Amerika kita ingin korbankan akidah dan manhaj Ahli Sunnah yang dibawa oleh RasululLah s.a.w dan dipraktikkan oleh generasi sahabah?!! Demi Tuhan Ka’bah!! tidak sama sekali! Saya menulis hal ini dengan penuh sedar tulisan ini menyanggah arus. Semoga ALLAH mengurniakan dalam hati ini kelapangan dari memikirkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umat. Demi sesungguhnya tulisan ini atas tanggungjawab semata. Jika ditakdirkan semua manusia tumbang pada arus pecaturan ini, biarlah kita terus berdiri sebagai seorang sunni yang faham dengan manhaj yang murni.


Hanya ALLAH Yang Maha Menengetahui betapa perasaan kita semua merintih dan menangisi penindasan Syaitan Amerika terhadap umat Islam ini. Jika panggilan jihad dibuka, kita ingin berbondong-bondong mendatanginya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan akidah hanya kerana semangat. Kita mesti menentukan jalan kita yang sebenar. Selepas itu, kita tidak peduli lambat atau cepat menuju ke destinasi suci, asalkan ia sampai dan diredhai ALLAH. Kita monolak jalan pintas dan dekat, apabila kita tahu ia menyesatkan kita dari destinasi sebenar dan dibaluti kemurkaan ALLAH. Ya ALLAH! Saksikanlah, sesungguhnya hambaMu ini telah menyampaikan!!.

Thursday, July 13, 2006

CARILAH KEBAHAGIAAN

CARILAH KEBAHAGIAAN. NAMUN INGATLAH IA ADALAH PEMBERIAN. DEKATILAH PEMBERINYA.

Kebahagiaan ialah suatu pemberian daripada Allah. Kemuncak kepada kebahagiaan ialah memasuki syurga dan syurga juga merupakan pemberian Allah. Mengapa syurga ialah kemuncak kebahagiaan? Kerana di sana Allah hilangkan penderitaan dan di gantikannya dengan keseronokan dan kenikmatan hidup utk selama-lamanya.

Dunia tidaklah seperti itu. Walau bagaimanapun kita masih mampu mengecapinya walaupun tidaklah secara hakiki. Cara yg terbaik utk mengecapi kebahagiaan ialah dengan mendekati Pemberinya, iaitu Allah. Sebab itu dalam surah ar-Ra'd Allah berfirman, "Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah hatimu akan tenang." Keluarga juga boleh mendatangkan kebahagiaan jika ahli keluarga itu ialah dari kalangan 'qurrata a'yun' iaitu 'mereka yg penyejuk hati disebabkan ibadah kepada Allah.' Semuanya berbalik kepada Allah.

Justeru jika seseorang bertanya kepada saya, "bagaimanakah cara hendak mencapai kebahagiaan?", saya (yg kerdil ini) akan menjawab, "dengan mengetuk pintu rahmat Allah tanpa jemu dan bosan."
"Bagaimanakah mengetuk pintu rahmat itu?"
"Dengan melumurkan hati menggunakan kasturi zikrullah, melaksanakan kewajipan, menjauhi larangan serta sentiasa berharap kepadaNya."
"Apakah tanda-tanda pintu itu telah terbuka?"
"Tanda-tandanya terdapat dalam al-Quran iaitu, apabila disebut nama Allah gementar syahdu hati itu, apabila dibaca ayat-ayat Allah iman di hati akan bertambah dan apabila melakukan aktiviti kehidupan tawakal kepada Allah akan menjadi landasan."

Ketika itulah percikan kebahagiaan telah dapat kita kecapi. Semoga Allah mempermudahkan.

Wednesday, July 05, 2006

Bukan ungkapan Nabi SAW

"Haasibuu anfusakum qabla an tuhaasabuu"

terjemahnya: "Muhasabahlah dirimu sebelum anda dihisab"

Ia adalah kata-kata (atsar) Khalifah Umar alKhattab ra. Begitulah kata Imam Ahmad (azZuhd), Abu Nu'aim (alHilyah), Ibn Jauzi (Manaqib Umar), disahkan oleh alMuhaddith al 'Asyr Nasr alDin Abu Abdul Rahman al-Albani (Silsilah adDha'ifah (3/346)

Ungkapan Umar ini sungguh masyhur hingga manusia mengembangkan menjadi pelbagai slogan yg lain spt, " Sembahyanglah kamu sbl kamu disembahyangkan".

Sifat muhasabah diri ini mengukuhkan keimanan bahawa kita akan suatu hari bertemu ALlah dan dihisab di Yaumul Mahsyar dan sikap sentiasa muhasabah diri akan memudahkan hisab seseorang kelak.

Atsar ini sahih kerana bertepatan dgn alhadith:

Dari Aisyah ra: (Nabi saw bersabda)
" Tidak ada seorang pun yg diminta pertanggungjawaban segala amalannya di hari Kiamat kecuali akan binasa. " Aku bertanya, bukankah Allah telah berfirman," Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanan, maka dia akan dihisab dgn hisab yg mudah?" AQ 84: 7-8
Sabda baginda," Itu adalah pembentangan amalan saja dan tidaklah sesorang yg dipinta pertanggungjawaban (tentang amalannya) kecualiakan disiksa."
[Muttafaq alaih, Fathul Bari (11/400)]

* dipinta pertanggangjawaban = dihisab

** petikan Laisa min qaul anNabi, Dr Fuad Syakir