Saturday, July 29, 2006

Tajdid Fiqh : Realiti dan Perlaksanaannya

al-Fadhil Dr Yusuf al-Qaradhawi mengesahkan bahawa budaya Islam tidak bosan dengan pembaharuan. Mereka mempercayainya didalam diri mereka dan menerimanya dengan tangan terbuka samada ia merupakan pembaharuan agama atau pembaharuan kehidupan. Beliau menganggap bahawa tiada halangan melakukan tajdid fiqh dari mereka-mereka yang mahir. Tambahan Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai soalan terhadap kebenaran seruan-seruan yang mengajak kepada pembaharuan fiqh, beliau berkata : Kita menerima tajdid yang benar, dan kita menolak keritikan yang memusnahkan dan pembaziran keatas khazanah fiqh yang menjadi kebanggaan kita semua, kita bertegas terhadap pembid'ah samada dimasa lalu dan kini.

Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan Salam keatas Rasulullah, wa ba'du :

Realilti budaya kita ialah tidak bosan dengan pembaharuan, malahan percaya kepadanya, menerima dengan tangan terbuka samada ia berbentuk pembaharuan didalam agama atau pembaharuan didalam penghidupan.

Makna keinginan kepada pembaharuan - Bagaimana pula kita tidak percaya kepada pembaharuan sedangkan Rasulullah :saw bersabda dengan jelas kepada umatnya :

إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
"Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat satu ketua pada pada setiap 100 tahun bagi memperbaharui agamanya"

Bukanlah dengan berkata : Bagaimana boleh memperbaharui agama sedangkan ia adalah nas yang muhkamat, ayat-ayat yang dijunjung dan hadith-hadith yang di muliakan? Sesungguhnya pembaharuan (tajdid) agama bermakna memperbaharui Iman dengannya, memperbaharui kefahaman mengenainya, dan mahir (faqih) didalamnya. Ia juga tajdid/pembaharuan didalam iltizam, amalan dan hukumannya, dan pembaharuan didalam cara berdakwah keatasnya.

Sejarah umat kita mengetahui contoh-contoh mujaddid seperti Umar bin Abdul Aziz yang memperbaharui cara berkhalifah, Imam al-Syafie yang meletakkan ilmu Usul al-Fiqh, al-Ghazali yang menghidupkan Allah dengan Ihya Ulumiddin, Ibn Taimiyah, Ibn al-Qayyim, Ibn al-Wazir, Waliullah al-Dahlawi dan sebagainya.

Kita mahukan pembaharuan dan bukan kemusnahan dan pembaziran : pembaharuan sesuatu bukan bermakna membuangnya, dan mewujudkan perkara yang baru, maka ini bukan dari sesuatu perkara yang baru. Pembaharuan sesuatu adalah mengekalkan intipati (essence), tanda-tandanya dan ciri-crinya, akan tetapi ia mengembalikan apa yang telah lusuh, dan ia memperkuatkan dari sudut-sudut atau tepi-tepinya yang telah menjadi lemah, sebagai kalau saya ingin pemperbaharui kecintaan kepada arkiologi atau tempat-tempat peningalan silam, maka hendaklah di 'preserve' / peliharakan, ciri-cirinya, rohnya dan materialnya dengan apa yang boleh. Dimana pembaharuan dilakukan keatas warna bangunannya, memperbaiki jalan masuknya dan mempercantikkan jalan yang menghala kepadanya.

Tajdid didalam agama hendaklah dilakukan dari dalam, menggunakan alat-alat yang dibenarkan oleh syara', yang dilakukan oleh ahli-ahlinya, ulama-ulama', dan tidak memalsu keatas ahli-ahlinya dan tidak boleh memasukkan unsur-unsur yang pelik dan tidak memasukkan dengan paksaan. Kita melihat ramai pada masa kini memasukkan diri mereka didalam agama, dan setiap mereka memperakui bahawa ini adalah pembaharuan agama, Syiekh bagi Islam, dan Imam pada zamannya.

Dikalangan mereka pada masakini yang membaca al-Quran dengan cara bacaan yang baru, dimana mereka telah menolak bacaan umat lalu yang sudah menjangkau empat belas abad lamanya. Mereka telah menolak kesemua khazanah yang ada, mereka telah menghantarnya kepada bakul sampah. Maka mereka bermula dengan kosong, tidak bergantung kepada Hadith Marfu', tidak ada athar dari para sahabat, dan tidak ada qaul sahih dari para tabien, tidak diambil (cited) pandangan dari Imam-Imam didalam bidang bahasa, fiqh dan tafsir. Dia berseorangan pada masa berhujah, dianggap jahil, dia akan membawa apa-apa tafsiran dan pendapat yang merendahkan Allah dari penguasaannya, dan hujah tidak bergantung kepadanya. Yang menghairankan bahawa yang menuduh ini tidak pandai dengan ayat-ayat al-Quran yang sahih, bukan sahaja dia tidak menghafal al-Quran, bahkan dia tidak mengetahui baris depan dan baris atas, tidak mengetahui Faa'il dan Maf'ul.

Mereka yang ingin membuang fiqh keseluruhannya, seperti fiqh sahabat, fiqh tabien, fiqh pengikut imam-imam, atau lain-lain pengikut, maka sesungguhnya kita telah memukulnya ke tengah-tengah dinding. Dengan menggunakan perundangan dan hak asasi manusia, yang tidak dijumpai didalam umat dari kalangan umat-umat yang lain, yang mengiktiraf kelebihan dan nilainya, dan keluasan negara Arab dan bukan Arab, dari Timur dan Barat, maka Seminar Antarabangsa telah mengenakannya didalam undang-undang di Hague dan Paris dan selain darinya.

Jika datang seorang yang tidak pandai membaca lembaran dari kitab Usul Fiqh, contoh al-Risalah karangan al-Syafie, atau al-Burhan karangan Imam al-Haramain, atau al-Mustashghi karangan al-Ghazali, atau al-Mahshul karangan al-Raazi, atau Muwafaqat karangan al-Syathibi, atau kitab fiqh misalnya al-Zakhirah karangan al-Iraqi, atau al-Majmu' karangan al-Nawawi atau al-Mughni karangan Ibn Qudamah, dia berkata kepada kami bahawa kamu buang fiqh ini yang melambatkan kamu dan yang telah beku. Apakah dosa fiqh? Apakah dosa umat? Apakah kerana seorang lelaki yang tidak pandai membaca, tidak memahami dan tidak boleh mengambil munafaat darinya? Apakah dosa fiqh apabila umat tidak pandai mengambil pengajaran dari Khazanah lama? Apakah pengambilan dari ijtihad baru dianggap berubah mengikut masa, tempat dan manusia?

Dan ada juga dari kalangan mereka yang berpaling dari hadith Rasulullah :saw kerana didalam buku-buku itu terdapat hadith-hadith dhaef, hadith palsu, hadith yang tidak ada asalnya, dan dari muhadith yang menutup aqal dari menerima pemindahan ini, dan mereka yang menyokong kejumudan dan ketaqlidan didalam menghadapi ijtihad dan tajdid.

Kesan ini adalah kerana sesungguhnya mereka tidak menyelami budaya kita secara mendalam, dan mereka tidak tahu apa yang membangkitkan umat didalam cara mereka memelihara warisan Nabinya, dan sesungguhnya Allah menyediakan ilmu kenabian yang menafikan distorsi (pencerobohan), dan penyamaran orang-orang salah, dan pentafsiran Jahiliyah.

Kesan buruknya ialah sesungguhnya mereka tidak kenal umat mereka, mereka tidak menjangka jumlahnya, walaupun ia merupakan kumpulan yang bodoh, dan ulama' mereka adalah dari kalangan yang bodoh, yang menyebarkan tuduhan-tuduhan dan ilusi memperdayakan mereka, dan mereka jahil bahawa umat tidak menyetujui kesesatan mereka. Inilah yang al-Quran buktikan, apa yang disokong oleh sunnah dan apa yang sejarah telah mempercayai. Sebagaimana firman Allah swt :-

وَمِمَّنْ خَلَقْنَا أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ
"Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka menjalankan keadilan. " [surah al'Araraf : 181]

Ayat ini bekekalan hingga akhir waktu, dan manusianya masih kekal, sebagaimana firman Allah swt :-

فَإِنْ يَكْفُرْ بِهَا هَؤُلَاءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ
"Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya. " [surah al-Baqarah : 89]

Bagi hadith pula, telah diperluaskan hadith-hadith sahih dari beberapa sahabat yang tidak mungkin berpakat didalam riwayat untuk berbohong keatas Rasulullah :saw. Kesemua hadith-hadith ini di miliki oleh umat kerana sesungguhnya : "Tidak akan datang satu kaum pada mereka yang berdiri diatas kebenaran, tidak akan mudarat mereka yang di cerobohi sehinggalah datang perintah Allah keatas itu".

Dinamakan golongan ini oleh beberapa ulama' sebagai golongan yang menang, maka kumpulan ini mewakili injab keselamatan bagi umat, mempelajari kejahilan, dan kembali pelik, mengatasi mereka yang sesat sehingga datangnya kiamat.

Bagi sejarah pula, maka benarlah kata al-Quran yang Agung dan Sunnah yang Mulia, bahawa masa tidak lekang dari ulama'-ulama' yang menolak bid'ah, dan memerangi kebatilan, sebagaimana kata Ali ra. : "Bumi ini tidak akan lekang dari pelaksana Allah dengan kehendaknya".

sumber : تجديد الفقه .. حقيقته وضوابطه
http://www.qaradawi.net/site/topics/printArticle.asp?cu_no=2&item_no=4322&version=1&template_id=130&parent_id=17

Tuesday, July 25, 2006

Palestine Cukupkah Sekadar Berdiam Diri


Saturday, July 22, 2006

Hadith Palsu Rejab, Sya'ban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan RasulNya. Jika agama boleh direkacipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Kita melihat di akhir-akhir ini perkembangan yang lebih mendukacitakan, dimana adanya individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu kemudiannya muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang Islam di sana-sini. Fonomena ini mendukacitakan kita, akhirnya manusia mengambil agama daripada golongan jahil lalu mereka diselewengkan.

Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah mengikut pengajian Islam membuat kesalahan dalam memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di kalangan yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering membuat kesalahan dalam persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w.

Berbalik kepada persoalan hadith, ramai di kalangan kita yang begitu tidak berdisplin dalam memetik hadith-hadith Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadith. Apa sahaja yang dikatakan hadith terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadith terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka pastinya sahih dan wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka jumpai daripada buku bacaan, yang dikatakan hadith maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Hadith ini adalah mutawatir (lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat barat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, Cuma ianya disebut hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:

“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut)

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan passport di atas nama sesebuah kerajaan. Ianya sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut. Kedudukan Nabi s.a.w tentunya lebih besar dan agung untuk dubandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadith ini:

“Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku) (rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)

Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:

“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Halab, Syria)

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi agen menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban ialah:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ianya ternyata bercanggaha dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama. Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah yang pasti kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadith. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar):

“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah." (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah)>

Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak juga semua pihak yang membaca sesuatu hadith memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.