Al-Quran merupakan sumber rujukan nombor satu bagi umat Islam. Ia dipenuhi dalil serta bukti yang pelbagai berkaitan dengan alam, manusia serta sistem hidup. Al-Quran berjaya membentuk umat Islam menjadi golongan yang progresif mindanya. Daripada al-Quran, umat Islam memiliki kefahaman yang betul tentang alam dan kehidupan.
Sebagai contoh, umat Islam, lama sebelum lahirnya teori Big Bang, sudah mengetahui bahawa langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum bermula proses kejadian alam. Pengetahuan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud, “Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian Kami pisahkan antara keduanya (fataq).” Kesan daripada ayat ini lahirlah pandangan sebagaimana yang diutarakan oleh ulama tabiin iaitu Imam Said bin Jubair yang telah meninggal lebih daripada seribu tahun dahulu. Beliau berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.”
Tambahan daripada itu, ulama Islam dari kalangan sahabat-sahabat nabi dan generasi selepas mereka juga telah mengetahui, berpandukan ayat-ayat al-Quran, bahawa proses kejadian bayi melalui pelbagai tahap, bermula dengan percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan. Mereka tidak pernah mengatakan bahawa kejadian bayi bermula dengan percantuman antara air mani lelaki dengan darah haid wanita seperti yang dinyatakan oleh Aristotle. Sebagai contoh sahabat nabi Abdullah ibn Abbas berkata, “Air lelaki telah bertemu dengan air perempuan kemudian ia bergabung dan bercantum dan selepas itu ia berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain dan daripada satu keadaan ke satu keadaan yang lain dan daripada satu warna ke satu warna yang lain.” Pandangan yang sama juga telah dinyatakan oleh Imam Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, dan Rabie’ bin Anas, seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim.
Di barat pula keadaannya adalah berbeza. Pakar-pakar biologi di sana, pada abad ke-17 dan 18 Masihi, masih lagi terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama mengatakan bayi telah sedia wujud dalam sperma lelaki dalam bentuk yang kecil sebelum persetubuhan berlaku. Golongan ini dikenali sebagai homunculists. Golongan kedua pula yang dikenali sebagai golongan ovists, mempercayai bayi telah sedia wujud dalam ovari wanita. Apabila persetubuhan berlaku embrio-embrio kecil ini seolah-olahnya mendapat lampu hijau untuk terus hidup dan membesar. Hal ini dilaporkan di Human Developmental Anatomy Center (Research Collections, National Museum of Health and Medicine, Washington).
Lebih menakjubkan, para sahabat juga telah mengetahui bahawa kadar hujan yang turun di muka bumi adalah sama pada setiap tahun. Hal ini adalah berdasarkan beberapa firman Allah, antaranya ayat 11 dalam surah az-Zukhruf yang bermaksud, “Dialah yang menurunkan air dari langit mengikut kadar lalu Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati....”
Berhubung dengan ini, Ibn Kathir meriwayatkan kenyataan Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Masud yang berkata, “Tidaklah hujan yang turun pada suatu tahun melebihi kadar hujan yang turun pada tahun-tahun yang lain.”
Kenyataan mereka memang selari dengan penemuan sains moden kerana pusingan hidrologi dunia (hydrologic or water cycle) menunjukkan kadar hujan yang turun adalah sama pada setiap tahun. Hal ini disebutkan dalam Wikipedia Encyclopedia bersumberkan daripada NASA dan United States Geological Survey. Pakar-pakar menganggarkan air hujan yang turun dari langit ke bumi mencecah 513 trilion ton setiap setahun tanpa sebarang perubahan.
Justeru, ajaran Islam berjaya membentuk minda saintifik lagi progresif di kalangan umat. Kesan daripada itu maka lahirlah saintis-saintis Muslim yang agung lagi mengagumkan. Kekaguman ini pernah disuarakan oleh seorang tokoh sains dari barat, George Sarton (1884-1956), dalam buku beliau yang bertajuk Introduction to the History of Science. Beliau berkata, "Memadai rasanya jika kita sekadar menyebutkan beberapa nama tokoh Islam yang tidak ada tandingannya di barat ketika itu. Antaranya ialah Jabir ibn Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Fargani, al-Razi, Thabit ibn Qurra, al-Battani, Hunain ibn Ishaq, al-Farabi, Ibrahim ibn Sinan, al-Masudi, al-Tabari, Abul Wafa, Ali ibn Abbas, Abul Qasim, Ibn al-Jazzar, al-Biruni, Ibn Sina, Ibn Yunus, al-Kashi, Ibn al-Haitham, Ali Ibn Isa al-Ghazali, al-Zarqab dan Omar Khayyam. Inilah nama-nama yang mengagumkan dan lis ini adalah lebih panjang daripada ini. Jika ada seseorang memberitahu anda bahawa bumi Timur Tengah sebelum ini ketandusan sains, sebutkan nama-nama ini kepadanya. Kesemua mereka ini berkembang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi.”
Monday, April 23, 2007
Al-quran Melahirkan Minda Progresif
Sunday, April 22, 2007
Usah Mudah Terliur Dengan Gula
“ Janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang, kerana manis itu belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan ” – Lukman nul-Hakim
Selalunya manusia memang begitu. Setiap yang payah tidak ingin dilakukan, hanya perkara yang senang menjadi pilihan. Dari sudut motivasi ia bagus kerana dengan itu terciptalah pelbagai barangan yang memudahkan kehidupan harian manusia. Dengan kereta, perjalanan jadi selesa dan cepat; dengan periuk elektrik memasak nasi menjadi perkara yang mudah; dengan adanya lif tidak perlu lagi memanjat tangga.
Kemahuan untuk senang membuatkan manusia mencipta pelbagai peralatan semasa. Ternyata kehidupan menjadi begitu menarik dan indah sekali.
Sayangnya, seolah-olah telah tertanam satu tabiat pada diri manusia – kesenangan adalah mesti. Maka tidak kurang ramainya manusia mencari kesenangan walau terpaksa menempuh jalan yang silap.
Menipu itu mungkin mudah berbanding bekerja membanting tulang, lalu nisbah si penipu yang mendiami bumi kian bertambah. Merampas harta orang dengan jalan yang tidak dibenarkan itu mungkin lebih mudah berbanding berusaha keras membina harta, lalu perbuatan seperti ini tidak pernah ada kesudahan.
Tabiat mahu yang senang sepanjang masa dan setiap masa telah menimbulkan sikap takut dengan cabaran atau lemah menghadapi cabaran. Sedangkan ayam kampung, dengan dibiarkan hidup mencari makanan sendiri terbukti payah sekali untuk ditangkap untuk disembelih, berbanding ayam sangkar yang terlalu dimanjakan hingga tulang temulangnya lembut dan rapuh.
Untuk tahan sakit seseorang itu perlu disakiti selalu. Maka itu, ahli gusti mampu melakukan pelbagai aksi yang menyakitkan tanpa begitu berasa sakit. Stamina seorang pelari jarak jauh bergantung kepada sekerap mana dan sehebat mana dia berlari setiap hari. Semua ini menyakitkan tetapi itulah yang menjadikan mereka kuat dan luar biasa sekali.
Maka itu, untuk menjadi orang yang kuat dalam mendepani cabaran-cabaran hidup, cabaran itu perlu ditempuh apabila terpaksa ditempuh, biarpun ia amat menyakitkan sebab sudahnya adalah kekuatan. Usah memilih yang manis sahaja sebab gula penyebab diabetes, sedangkan tongkat ali yang pahit itu adalah penguat tenaga.
Suatu hari, sepasang suami isteri sedang mandi di dua bilik air yang berasingan, loceng rumah mereka berbunyi. Setelah dan berdolak-dalik, akhirnya Munah mengalah lalu pergi membuka pintu dengan hanya berkemban dan menutup kepalanya dengan tuala. Di luar rupanya Awang, jiran sebelah. Melihatkan keadaan wanita itu, Awang tersenyum dan dia berkata, “Bukalah tuala tu saya akan hadiahkan RM800.”
Wah, sekadar membuka tuala sudah mendapat RM800. Tentu Ahmad pun gembira mendengar berita ini, fikir Munah. Dia pun membuka tuala yang menutup kepalanya. Sebelum sempat Awang berkata apa-apa Munah sudah menutupnya kembali dan menadahkan tangan. Awang memberinya RM800, sebelum tersenyum lalu pergi.
Munah tergesa-gesa hendak memberitahu Ahmad. Jika begitu mudahnya mendapat wang, hidup sudah menjadi teramat manis.
“Siapa yang datang?” pekik Ahmad dari bilik mandi.
“Awang jiran sebelah.”
“Oooo.” Keadaan senyap seketika. “ Ada tak dia bagi RM800? Dia kata nak bayar hutang dia hari ni.”
Maka itu, usah terlalu terliur dengan perkara yang menyeronokkan sebab boleh jadi ia petaka dan usah terlalu cerewet dengan hal yang tidak menyeronokkan, boleh jadi ia penyebab bahagia.
Wednesday, April 18, 2007
Kepentingan Akal Untuk Mengenali Allah
Akal adalah alat penting untuk mengenali Allah. Pengamatan yang mendalam tentang diri dan alam boleh mendekatkan seseorang kepada Allah. Allah berfirman:
“Dan Dialah yang telah menciptakan bagi mu pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah yang bersyukur. Dan Dialah yang menciptakan serta meramaikan kamu di bumi ini dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?” (Surah Al-Mukminun ayat 78-80)
Imam Ar-Razi meriwayatkan, Imam Malik pernah ditanya oleh khalifah Harun Ar-Rasyid tentang bukti kewujudan Allah, dan beliau menjawab: “Buktinya ialah, setiap manusia telah dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama kejadiannya, tetapi bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka adalah berbeza.”
Imam Abu Hanifah pernah ditanya oleh sekumpulan manusia tentang bukti kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta, dan beliau menjawab: “Aku sedang berfikir tentang sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia belayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya”. Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata: “Ini adalah satu kisah gila yang tidak masuk akal”. Imam Abu Hanifah terus menjawab: “Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal boleh belayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa Pencipta dan Pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu terus tergamam dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.
Imam Syafie pula ketika ditanya tentang dalil kewujudan Allah telah berkata: “Lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?”
Di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata: “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir....... di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperolehi bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana”
Begitulah kepentingan akal sebagai alat untuk mengenali Allah. Walau bagaimanapun, di samping akal, dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah adalah penting untuk mengenali Allah secara sahih.
