Wednesday, April 11, 2007

Perutusan Mualidul Rasul 1428h oleh Dr Yusuf al Qharadawi.

Siapa yang boleh mengambil pedoman dari kehidupan Rasulullah saw ?


Kehidupan Muhammad saw adalah lapangan yang cukup luas untuk dijadikan tauladan bagi sesiapa sahaja. Anak muda boleh mendapat pedoman kerana Muhammad saw pernah menjalani kehidupan sebagai anak muda yang rajin bekerja dan memerah keringat tanpa bergantung kepada keturunannya yang mulia dan kedudukannya yang istimewa. Seorang yang masih bujang boleh mengambil pedoman dari hidup Rasulullah saw kerana baginda tidak berkahwin kecuali selepas berumur 25 tahun.

Si Suami yang mempunyai seorang isteri boleh menjadikan Rasulullah saw sebagai ikutan kerana baginda hanya bersama daengan seorang isteri, Khadijah sehingga umur baginda 50 tahun. Mereka yang berpoligami juga boleh menjadikan Rasulullah saw sebagai panduan dalam 10 tahun terakhir baginda mempunyai ramai isteri. Antaranya seorang anak dara dan lainnya adalah janda, ada yang muda dan ada pula yang tua. Ada dari bangsa Arab dan ada pula dari Bani Israil.

Seorang bapa boleh melihat kehidupan Nabi saw ketika memiliki anak dan ketika kematian anak-anaknya. Seorang datuk dapat menghayati pedoman hidup Rasulullah saw ketika baginda saw melayan dua cucunya, al Hasan dan al Husain. Seorang pejuang dapat melihat Rasulullah saw sebagai pejuang; Bagaimana berlangsungnya peperangan? Apakah adab dan disiplinnya?Bagaimana halnya ketika menerima kemenangan atau kekalahan seperti dalam perang Uhud?

Seorang penguasa, pemerintah,raja, presiden atau ketua kerajaan boleh menerima pedoman dari hidup baginda saw ketika mana memiliki kekuasaan lalu baginda saw berlaku adil dan menegakkan hak dan kebenaran. Baginda saw telah meninggalkan untuk kita warisan agung dalam lapangan ini. Sebenarnya samada pemerintah atau yang diperintah, semua boleh melihat kehidupan baginda saw.

Baginda hidup sebagai rakyat biasa dalam pemerintahan orang lain di Mekah dan sebagai pemerintah di Madinah. Begitu juga bagi orang kaya atau miskin. Baginda pernah merasai kefaqiran dan kemiskinan sehingga terpaksa mengikut perut dengan batu bahkan dua biji batu. Baginda juga pernah menerima habuan dua yang banyak apabila diberi kemenangan dan mendapat ghanimah (rampasan perang) yang banyak sehingga akhir keseluruhan Arab dan semenanjung Arab tunduk di bawah kekuasaannya.

Baginda saw telah melalui semua pengalaman-pengalaman ini. Siapa lagi antara para Nabi dan Rasul yang merasai segala pengalaman ini? Inilah dia Muhammad saw yang telah diberi keistimewaan dengan semua ini yang ditugaskan membawa agama agung yang mempunyai cirri-ciri umum, kekal dan lengkap.

Sumber : http://www.qaradawi.net/site/topics/index.asp?cu_no=2&temp_type=44

Monday, April 09, 2007

Cemerlang Dengan Mementingkan Perancangan

Dalam surah Yusof ayat 47-49 Allah berfirman, “Yusof berkata, ‘Hendaklah kamu bertanam selama tujuh tahun sebagaimana biasa dan apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit yang kamu ambil untuk dimakan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit yang memerlukan kamu memakan apa yang kamu simpan kecuali sedikit yang kamu biarkan dalam simpanan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia dikurniakan hujan dan ketika itu mereka memerah anggur’.” Ayat ini menceritakan tentang perancangan yang dicadangkan oleh nabi Yusuf kepada raja Mesir untuk menghadapi saat kegawatan ekonomi di Mesir.


NABI MEMENTINGKAN PERANCANGAN STRATEGIK

Nabi sentiasa mementingkan perancangan yang rapi sebelum melaksanakan tugas-tugas penting. Sebagai contoh, sebelum berlakunya Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah, perancangan yang mantap telah dilakukan oleh nabi di Mekah. Ketika itu, baginda mengubah strategi dakwah dengan menyampaikan risalah Islam kepada orang-orang yang datang dari luar kota Mekah.

Golongan Aus dan Khazraj dari Yathrib (Madinah) terkesan dengan dakwah nabi dan dengan itu pada tahun ke-12 sebelum hijrah berlakulah Perjanjian Aqabah Pertama antara nabi dengan 12 orang wakil dari Madinah. Ketika mereka kembali ke Madinah nabi mengutus sahabat yang bernama Mus’ab bin Umair bersama-sama mereka bertujuan untuk mendidik masyarakat di Madinah tentang Islam.

Strategi ini berjaya mengislamkan ramai tokoh-tokoh Arab di Madinah. Ini memungkinkan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua di Mekah pada tahun ke-13 sebelum hijrah. Dalam perjanjian ini mereka berjanji untuk membela nabi sebagaimana mereka membela keluarga mereka sendiri hingga ke titisan darah yang terakhir. Selepas perjanjian ini nabi melantik 12 orang dari kalangan mereka untuk menjadi nuqabak atau penggerak utama dakwah di Madinah. Perancangan yang strategik ini menjadi titik tolak kepada Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah.

Ketika berlaku Perang Khandak golongan Quraisy keluar dengan kekuatan tentera berjumlah empat ribu orang dan Bani Ghatfan dengan jumlah enam ribu orang menuju ke Madinah. Oleh kerana umat Islam mempunyai kekuatan tentera berjumlah hanya tiga ribu orang, umat Islam memutuskan untuk mengadakan pertahanan dalam kota Madinah.

Taktik yang digunakan ketika itu ialah mengorek parit di sekeliling kota Madinah. Untuk memastikan taktik ini berkesan perancangan telah dilakukan dengan rapi. Mereka memutuskan untuk menggali parit sepanjang 5,000 hasta, ukuran dalamnya 7-10 hasta dan lebarnya lebih kurang 9 hasta. Untuk melaksanakan tugas ini nabi membahagikan para sahabat kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai sepuluh orang dan setiap kumpulan diarahkan untuk menggali parit sepanjang 40 hasta. Kesan dari perancangan yang rapi ini pihak musuh tidak dapat memasuki kota Madinah dan dengan bantuan Allah umat Islam terselamat dari pancaroba peperangan.

Monday, April 02, 2007

Tajdid Iman: Ibadat Di Dunia Penentu Tingkat Darjat Di Syurga

Bersama Dr Juanda Jaya

SEANDAINYA kita berada di syurga, di manakah tempat yang layak kita duduki? Untuk menjawab soalan itu elok kita teliti dengan cermat, cukupkah kiranya amal salih yang kita lakukan sepanjang hidup ini? Pernahkah anda berasa iri hati melihat orang lain lebih banyak beramal ibadat berbanding diri anda?

Umpama menikmati cahaya bulan pada malam yang cerah, ia sungguh indah, namun tidak boleh dicapai. Begitulah kiranya kedudukan orang yang berada di syurga tertinggi.

Mereka yang berada di bawah tentu menyesal, mengapa di dunia dulu dia tidak beramal seperti amalan sahabatnya yang berada di atas sana. Dengan iman manusia mencapai puncak ketinggian. Iman itu menentukan status dan gelaran di syurga.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni syurga melihat penghuni yang berada di atas tingkat mereka bagaikan melihat bulan di langit.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sememangnya kedudukan Mukmin itu bertingkat-tingkat mengikut keadaan amalan masing-masing. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang yang kami pilih di antara hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang mendahului dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan amat besar.” (Surah Faathir, ayat 32)


Al-Sabiquna bil khairat (mereka yang mendahului dalam berbuat kebaikan) kedudukan mereka dekat dengan Nabi SAW kerana iman mendalam dan amal salih yang dilakukan.

Mereka adalah VVIP di sisi Allah dan Rasul-Nya, yang berjuang bersama-sama Nabi dan paling cepat menyahut seruan iman kemudian beramal dengannya.

Dr Aid al-Qarniy menyatakan di dalam kitabnya Ihfazillah Yahfazukallah bahawa golongan Assabiqun memiliki sifat melakukan ibadat wajib dan berasa tidak cukup dengannya sehingga menambah dengan ibadat sunat. Sehingga kedudukan mereka jauh lebih tinggi daripada hamba Allah yang lain.


Al-Muqtashid (golongan pertengahan). Dr Aid juga mengulas mengenai golongan ini, beliau berkata: “Mereka ini ialah golongan yang berasa cukup melakukan kewajipan saja. Hal ini sudah melayakkan mereka mendapat kecintaan Allah SWT.”

Seperti hadis Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai melainkan dia melakukan sesuatu yang Aku wajibkan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Namun demikian keadaan mereka di syurga berada di bawah golongan Assabiqun.


Zalimun linafsihi. (Yang menzalimi dirinya sendiri). Saidatina Aisyah pernah ditanya oleh seorang sahabat, Masruk: “Wahai bonda, siapakah orang yang masuk dalam kumpulan Assabiqunabil khairat? Aisyah menjawab: “Iaitu orang yang hidup bersama Rasulullah, sementara al-Muqtashid ialah mereka yang hidup selepas baginda wafat. Dan yang menganiaya diri sendiri (zalimun linafsihi) adalah aku dan kamu.”

Perkataan Ummul Mukminin Aisyah yang merendah diri menunjukkan kepentingan meletakkan diri dalam keadaan waspada dan takut kepada Allah. Namun begitu tidak mustahil kita boleh mendapatkan kedudukan Assabiqun, walaupun amal dan perbuatan jauh ketinggalan dibandingkan dengan sahabat Rasulullah SAW.

Satu syarat mutlak bagi kita mencapai kedudukan ini ialah apabila kita mencintai golongan Assabiqun dengan menyertai mereka dalam setiap amal perbuatan, walaupun kita tidak berada pada zaman mereka.

Mencintai bermaksud menjadikan mereka sebagai inspirasi dan teladan di dalam kehidupan. Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang mencintai suatu kaum maka dia akan bersama mereka di syurga nanti.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: “Bagaimanakah jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya (di akhirat).”

Mencintai membawa maksud mengikuti amalan mereka dengan mengambil acuan yang ditinggalkan Rasulullah SAW kepada mereka. Amalan mereka mengikut sunnah dan tidak tercemar oleh unsur bidaah.

Mereka memastikan amalan dibuat adalah berdasarkan ilmu dan dalil yang kukuh.

Jauh sekali daripada sikap mengikut sesuatu amalan yang tiada asas.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara orang mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang dijanjikannya kepada Allah, di antara mereka ada yang menemui ajalnya (mati syahid) dan di antara mereka ada yang menanti-nantikannya (untuk memperoleh syahid) dan tiadalah mereka ingin menukar janji itu dengan yang lain. (Surah Al-Ahzab, ayat 23)

Mereka mendahului kita dalam perjuangan dan pengorbanannya kepada Allah. Kini kita berada pada kedudukan menunggu panggilan. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya. Walaupun kita sering terlupa, perkataan Ummul Mukminin Aisyah: Zalimun linafsihi itu aku dan kamu.